APABILA kita menyebut tentang badut, umum pastinya mengetahui istilah itu merujuk kepada pelawak dalam sarkas, wayang dan sebagainya dalam persembahan.

Badut ini bukan sahaja memakai mekap tebal malah berkelaluan yang sungguh melucukan.

Apakah tujuannya? Tujuan hanya satu bagi menghiburkan orang lain.

Dalam konteks politik, istilah badut turut digunakan iaitu badut politik dan apa sebenarnya badut politik?

Dalam politik, badut politik adalah berperanan menimbulkan kelucuan dan sindiran, yang kadangkala mempengaruhi pemikiran.

Adakah layak untuk mereka yang bergelar badut politik menjadi pemimpin politik?

Ia sebenarnya tidak mustahil. Ini kerana persekitaran politik telah menjadikan pelbagai kemungkinan, kerana politik pernah ditakrifkan sebagai ‘apa pun boleh berlaku’.

Apa yang penting adalah pihak yang menerajuinya kekal berkuasa ataupun boleh mendapat kuasa.

Adakah itu perkara seperti badut politik itu diamalkan dalam Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP?

Di Selangor misalnya, PAN Selangor menyifatkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti ‘badut’ selain tidak la­yak memegang jawatan menteri besar dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri itu.

Kenapa Azmin digelar badut? Ini kerana Azmin didakwa berdolak-dalik mengenai rundi­ngan kerusi pilihan raya umum di negeri berkenaan membabitkan PKR dan PAN.

Azmin menyatakan sudah ada rundingan antara gabungan parti-parti politik PH di Selangor berhubung pembahagian kerusi pada PRU-14 di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim menafikan dakwaan mereka pernah berunding mengenai kerusi di negeri tersebut sedangkan tidak berlaku sebarang rundingan mengenainya.

“Tidak ada (rundingan kerusi). Dia ini badut. Bila masa kita bincang kerusi? Hanya PKR yang bincang tentang soal itu, tidak ada yang bincang dengan mereka,” katanya Izham.

Sebelum itu, Azmin mendakwa PAN berbohong ke­rana mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk Sela­ngor belum dibentuk sedangkan mereka sudah bermesyuarat sebanyak empat kali dan perkara berkenaan turut dinafikan oleh Izham.

Difahamkan, rundingan kerusi di Selangor bermasalah apabila PKR mahu bertanding kesemua 21 kerusi yang ditandinginya dalam PRU-13 di tambah dengan 10 lagi kerusi yang dimenangi oleh PAS ketika ini.

Sedangkan dalam kalangan PAN, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah dicapai kata sepakat tentang cara pembahagian kerusi itu.

Dalam pembahagian itu, kesemua 20 kerusi yang ditandingi oleh PAS dalam PRU-13 akan dikongsi antara PAN dan PPBM, manakala DAP akan kekal di 15 kerusi yang ditandinginya sebelum ini.

PPBM juga akan mendapatkan sebahagian kerusi PKR yang dimenangi oleh UMNO dalam PRU-13 lalu. UMNO menang 12 kerusi negeri dalam PRU-13 lalu di Selangor.

Jadi, persoalannya di sini, siapa sebenarnya ‘badut’ dalam PH di negeri Selangor?

Azmin mendakwa Izham berbohong dan Izham pula mendakwa Azmin badut serta tidak layak menjawat jawatan Menteri Besar.

Jika beginilah caranya, layakkah pemimpin dalam PH untuk mentadbir sebuah negara seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Ini kerana, mereka berpolitik bagi menimbulkan kelucuan dan sindiran, yang kadangkala mempengaruhi pemikiran orang ramai.

Oleh sebab itulah, masalah pembahagian kerusi tidak dapat diselesaikan dengan baik malah mereka berbalah sesama sendiri.

Jika dilihat, isu pembahagian kerusi PH bukan sahaja berlaku di negeri Selangor, malah turut berlaku di negeri lain seperti Terengganu, Kedah, Kelantan dan Pahang.

Sehingga kini, Johor dan Negeri Sembilan telah selesai membuat pembahagian kerusi dan diumumkan dalam konvensyen mereka manakala negeri-negeri lain memohon untuk penangguhan tarikh tutup selepas mereka terlepas tarikh 31 Januari yang diputuskan sebelum ini.

Adakah semua itu berlaku disebabkan kerana PH disertai oleh ramai pemimpin yang bergelar ‘badut’?

Rakyat pasti dapat menilainya antara badut sarkas dan badut politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here