RAKYAT pastinya ingin tahu kenapa Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan pesta arak Better Beer Festival 2017 di negeri itu?

Hujah beliau ialah ia sejajar dengan prinsip menghormati hak kaum dan agama lain.

Bolehkah diterimakah alasan yang diberikan oleh Azmin?

Jika diamati, alasan itu agak dangkal kerana pesta itu ditentang oleh umat Islam dan mencemarkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Biarpun Azmin mahu bertolak ansur tetapi janganlah melampau.

Adakah memadai sekadar memberikan syarat bahawa penganjur perlu mematuhi peraturan ditetapkan?

Pokok pangkalnya pesta itu tidak harus dibenarkan sama sekali, apatah lagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sudah memberi amaran terhadap kemungkinan ancaman pengganas jika pesta itu diteruskan.

Mohamed Azmin tidak perlu melatah jika keputusan beliau itu menyebabkan dia dianggap tunduk dengan desakan pemimpin-pemimpin DAP yang sebelum ini membantah keras pembatalan pesta itu di Kuala Lumpur.

Adakah Azmin berbuat demikian kerana tunduk dengan DAP?

Atau adakah Azmin bimbang akan hilang undi Cina pada pilihan raya umum akan datang?

Dengan alasan kita harus meraikan rakyat bukan Islam, Azmin yang dipercayai dikuasai DAP itu dengan berlapang dada tidak menghalang acara itu untuk masuk ke negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan.

Ada yang berkata, ini dipercayai semata-mata untuk meraih undi sahaja.

Bukan untuk kemakmuran masyarakat negeri termaju itu. Azmin tahu, memandangkan peratusan pengundi Cina di Selangor adalah 34.06 peratus bersamaan 683, 597 orang manakala India 14.39 peratus bersamaan 288, 709 orang. Ternyata jumlah besar ini bukannya beragama Islam.

Azmin tahu, jika dia memilih untuk berkeras dalam isu berkenaan, dia berisiko untuk hilang lebih 48 peratus pengundi bukan Islam ini.

Jelas kepada kita, Azmin sebenarnya takut kalah dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Dalam masa sama, Azmin juga tidak mampu melawan kehendak kuasa-kuasa besar di belakang pesta arak itu dan juga DAP sendiri.

Persoalannya, adakah Azmin tidak mengetahui sesuatu yang haram akan tetap menjadi haram sehingga ke kiamat?

Begitu juga dengan tegahan agama Islam mengenai meminum sesuatu yang memabukkan, larangan ini bukan terhenti semasa menghampiri musim pilihan raya sahaja, malah ia akan tetap begitu sehingga ke hari pembalasan.

Bagaimanapun amat kecewa bagi seorang pemimpin beragama Islam yang dilihat seolah-olah tidak mengambil berat terhadap isu haram ini.

Maka benarlah apa dikatakan bekas Menteri Besar Se­­langor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bahawa tiada agenda Melayu di Selangor.

Apa lagi yang hendak dikatakan, sekiranya Azmin membenarkan Better Beer Festival diadakan di Selangor.

Segala dilihat jelas dan mudah dibaca iaitu Azmin ingin terus mengekalkan sokongan yang diterimanya, seperti mana kata-kata Mat Taib berhubung sokongan kepada Azmin.

Untuk apa Azmin memperjuangkan kepentingan Melayu, jika akhirnya kehilangan sokongan?

Jika hilang sokongan, ianya akan membuatkan Azmin berputih mata dari jawatan Menteri Besar.

Jadi, atas sebab itu pesta arak dibenarkan, kerana di dalam politik, angka adalah segalanya.

Apa juga cubaan Azmin untuk menjustifikasi tindakannya membenarkan acara berkenaan diadakan kelak, ia hanyalah sekadar alasan orang politik.

Hakikatnya, Azmin tidak mampu menolak desakan majoriti yang menyokongnya.

Benarkah Azmin sedang dikuasai oleh DAP di Selangor?

Jika dilihat kepada keputusan Azmin membenarkan pesta arak di Selangor, perkara itu seolah-olah benar.

Inilah politik, dan inilah maksud kebimbangan Mat Taib tentang siapa yang menentukan keputusan di dalam Pakatan Harapan.

Azmin kini semakin tersepit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here