Pesawat terbesar di dunia, Antonov An-225 Mriya, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.10 pagi ini dalam penerbangan komersial sulungnya ke Malaysia setelah melalui kerja menaik taraf lebih setahun lepas.

Pesawat kargo gergasi Ukraine itu tidak asing bagi KLIA kerana ia pernah mendarat 2 kali di sini iaitu pada 2007 dan 2016 sebagai pesawat pengangkut barangan komersial.

Juruterbangnya, Antonov Dmytrov, memberitahu bahawa Malaysia adalah tempat persinggahan ketiga pesawat itu selepas Leipzig, Jerman dan Dammam, Arab Saudi, bagi menghantar kargo berat.

Dmytrov, yang berpengalaman menerbangkan pesawat kargo selama 16 tahun berkata, pesawat bersama 24 anak kapal itu akan berada di sini selama 3 hari, sebelum terbang semula ke Arab Saudi.

“Pesawat ini direhatkan di Kiev selama lebih setahun (bagi tujuan menaik taraf) dan kami terbang semula untuk kali pertama pada 3 April. Ini kali kedua saya menerbangkan pesawat ini ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Ukraine di Malaysia Olexander Nechytaylo, yang hadir di KLIA bagi menyambut ketibaan anak kapal pesawat berkenaan berkata, beliau amat teruja apabila berpeluang melihat hasil hebat daripada teknologi penerbangan itu dari dekat.

“Inilah antara contoh hasil daripada teknologi yang dimiliki Ukraine. Ia menunjukkan bahawa dalam sesetengah bidang seperti aeroangkasa dan pembinaan kapal terbang, Ukraine menjadi antara peneraju di dunia.

“Saya sungguh gembira apabila pesawat ini kini berada di Malaysia dan dapatlah rakyat negara ini melihatnya sendiri,” kata beliau.

Menurut eksekutif komersial Antonov Airlines, Dmytrii Dolhov, dengan ukuran 84m panjang dan 18m tinggi, Antonov An-225 mampu membawa berat berlepas maksimum 640 tan.

“Selalunya, kami mengangkut barangan “super” berat. Bagi pelanggan, adalah lebih cepat dan murah untuk menghantar kargo berat dengan menggunakan pesawat ini kerana ia bersamaan dengan 5 pesawat lain,” kata beliau.

Dolhov berkata, Antonov An-225 menggunakan 6 enjin dan memiliki sayap berukuran 88m panjang dan 32 tayar.

Direka bentuk pada akhir 1980-an, Antonov An-225 adalah pesawat paling panjang dan paling berat yang pernah dibina setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here