Beberapa pesara polis menyambut baik peruntukan kuota khas haji untuk pesara polis yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Muhamad Zaki Khairuddin, 70, berkata peruntukan kuota khas haji itu bersesuaian kerana selepas pencen, mereka ada masa dan wang menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

“Saya buat rayuan banyak kali (kepada Lembaga Tabung Haji), tapi masih tak dapat. Dengan adanya kuota khas ini, peluang cerah untuk saya dan pesara lain ke Mekah,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan perdana menteri dengan lebih 5,000 pesara polis di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Walaupun kecewa dengan dana RM3 juta untuk pesara polis, beliau berharap kerajaan akan memberi peruntukan tambahan kepada mereka pada tahun akan datang.

“RM3 juta memang tak cukup. Dah bagi Alhamdulilah, harap-harap ada (peruntukan) tambahan untuk semua negeri,” kata Zaki yang bersara pada 2002.

Najib mengumumkan peruntukan RM3 juta setiap tahun, selama 3 tahun kepada Tabung Amanah Warisan Polis bagi membantu pesara polis.

Beliau turut mengumumkan peruntukan kuota khas haji kepada pesara polis, selain setengah daripada skim perumahan mampu milik dan penubuhan cawangan persatuan pesara polis di setiap negeri.

Muhamad Zubir Jantan, 58, bersyukur insentif khas yang diperjuangkan sekian lama itu membuahkan hasil.

“Apa disampaikan perdana menteri baik untuk pesara. Selama ini pesara tidak dapat apa-apa, masuk persatuan tidak dapat apa-apa.

“Dengan pengumuman itu, perjuangan untuk pesara polis pergi haji tercapai. Saya belum pergi haji lagi, ini peluang kita.”

Mohamad Kassim Othman, 67, yang bersara sejak 2007 pula berharap peruntukan itu akan digunakan dengan baik bagi memanfaatkan semua bekas anggota keselamatan negara.

“Alhamdulilah membantu, asalkan pengurusannya bersesuaian dan berfaedah kepada pesara. Masih lagi banyak tidak ada rumah dan menanti-nanti pengumuman itu.

“Kuota khas haji memang kita tuntut. Kalau nak pergi haji memang waktu bersara, kalau masa bekerja memang susah.”

Terdahulu, Najib berkata, sokongan pesara polis amat diperlukan untuk kerajaan pimpinannya.

Beliau berterima kasih kepada pesara polis yang setia menyokong kerajaan dan berharap mereka dapat terus menyumbang kepada negara.

“Tuan-tuan semua, terima kasih setia sepanjang hayat, sepanjang zaman (kepada kerajaan). Saya senang hati hari ini.

“Tuan-tuan mesti sumbang (kepada) masa depan negara. Cara masing-masinglah, balik kampung kerja, gerak dalam kumpulan sokong kerajaan.

“Jangan bebel tak tentu arah. Kalau tak boleh, duduk surau doa untuk negara kita. Insya Allah makbul doa. Banyak kita nak lakukan dan saya perlu sokongan tuan. Kerajaan hari ini perlu sokongan tuan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here