Kerajaan akan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali pada 19 November 1985, di Baling, Kedah.

Peristiwa Memali telah mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan tersebut akan dilaksanakan sekiranya ada keperluan, permintaan atau resolusi daripada pihak yang meminta kerajaan berbuat demikian.

Kerajaan bersedia menubuhkan RCI sekiranya ada permintaan bagi mendapatkan maklumat sebenar kejadian itu demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka.

“Undang-undang tetap ditegakkan. Pesalah Memali mesti dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bukit Gantang kali ke-29 2017, di Dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Beliau berkata, ia adalah keputusan kerajaan dan akan dipertimbangkan.

“Perkara ini juga mengingatkan saya, apabila kita ada kuasa, kita mesti berlaku adil dan tidak menzalimi sesiapa serta tidak menyalahgunakan undang-undang.

“Saya membaca dengan teliti tulisan ‘Frankly Speaking’ oleh Tun Musa Hitam yang antara lain menyebut beliau telah memperoleh arahan untuk menghapuskan Kampung Memali kerana di situ ada unsur-unsur keganasan dan militan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas ketika itu.

“Kita harus ingat, mangsa yang meninggal dunia akibat daripada tindakan tersebut telah dinafikan oleh orang yang memerintah ketika itu.

“Nyawa yang hilang mungkin mudah dipandang (ringan) oleh orang yang melaksanakan kuasa tetapi tidak mudah dilupakan oleh orang yang menjadi mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here