Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, mencadangkan  Peruntukan untuk Angkatan Tentera Malaysia Lebih RM14 bilion, hampir RM9 bilion untuk PDRM dan lebih RM900 juta kepada APMM.

Menyentuh intipati keselamatan dan ketenteraman awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata antara program utama yang akan dilaksanakan berkaitannya ialah pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan melibatkan RM3 bilion.

Sebanyak RM720 juta diperuntukkan untuk pembinaan 11 ibu pejabat dan enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi, katanya.

Beliau berkata sebanyak RM170 juta diperuntukan untuk menaik taraf peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk sistem 1PDRMnet serta RM100 juta bagi menaik taraf sistem komunikasi.

Beliau turut mengumumkan pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM (PPA1M-PDRM) dengan harga yang sesuai dengan tangga gaji anggota polis.

Beliau berkata RM490 juta diperuntukkan kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaik taraf jeti dan juga pembelian tiga kapal peronda.

Najib juga mengumumkan peruntukan RM250 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak termasuk RM50 juta untuk radar pengawas pantai.

Najib, dalam pada itu, berkata sebanyak RM50 juta  diperuntukkan bagi  meningkatkan  keupayaan aset persenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan antikeganasan.

Bagi menghargai peranan RELA membantu masyarakat, Najib mengumumkan kerajaan menyediakan peruntukan hampir RM250 juta bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.

Bagi menjaga kebajikan anggota tentera, Najib mengumumkan kerajaan akan menyediakan  pelan tindakan Perumahan Keluarga Angkatan Tentera dengan membina lebih 40,000  unit secara berfasa menjelang tahun 2030.

“Bagi 2018, hampir 6,000 unit akan dibina,” katanya.

Katanya, sebanyak RM40  juta  diperuntukkan untuk  menaik  taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran tentera. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here