Perubahan kaedah pengundian pos luar negara pada PRU14 tidak akan menjejaskan ketelusan proses pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, proses undi pos luar negara berdasarkan permohonan pemilih yang layak dengan menyertakan nombor kad pengenalan dan nombor pasport sebagai bukti pengenalan diri.

Menurutnya, maklumat itu akan disahkan kelayakannya dengan Jabatan Imigresen sebelum SPR memaklumkan kepada pemohon, sama ada permohonan mereka diluluskan atau ditolak.

“Seterusnya urusan pengeluaran kertas undi pos akan dibuat pegawai pengurus pilihan raya bagi bahagian berkenaan, disaksikan wakil calon bertanding semasa pengeluaran sampul kertas undi pos untuk penghantaran kepada pemohon berjaya,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi proses pengundian pos yang lain, pengundi akan menerima sampul kertas undi secara terus dan mereka perlu menanda pilihan serta mengisi Borang 2 (pengisytiharan identiti) dengan lengkap di hadapan seorang saksi bagi membuktikan penerima sampul kertas undi itu adalah pengundi berkenaan.

Menurutnya, Borang 2 itu perlu dihantar kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya masing-masing bersama sampul mengandungi kertas undi sebagai pengesahan bahawa undi tersebut adalah daripada pengundi pos berkenaan.

“Sampul undi pos yang diterima akan dibuka dengan disaksikan wakil-wakil calon sebelum dimasukkan ke dalam peti undi dan proses pengiraan undi pos juga disaksikan sendiri oleh wakil-wakil calon terbabit.

“Kaedah ini memudahkan pengundi pos luar negara kerana tidak perlu ke pejabat kedutaan atau pejabat perwakilan Malaysia (Malawakil) yang jauh dari tempat bermastautin,” katanya.

Mohd Hashim berkata, SPR akan sentiasa memastikan aspek ketelusan dalam setiap proses pilihan raya.

Sehingga kini, SPR telah menerima 828 permohonan undi pos luar negara sejak dibuka pada 23 Januari lalu, dengan 285 daripadanya diluluskan dan selebihnya masih dalam proses semakan.

Permohonan paling banyak diterima dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jerman.

Selain itu, terdapat 3,601 Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara yang berdaftar, terdiri daripada penjawat awam dan pelajar sepenuh masa serta pasangan.

Mohd Hashim berkata, bagi penjawat dan pelajar sepenuh masa serta pasangan di luar negara yang tidak berdaftar sebagai PTH, mereka perlu memohon undi pos melalui Borang 1B kepada SPR sebelum pembubaran Dewan Rakyat. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here