Duta
FI

Sekiranya kerajaan Myanmar masih berdegil untuk mendengar saranan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia dan negara – negara lain bagi mereka menghentikan segala tindakkan kekejaman dan penindasan mereka terhadap penduduk etnik Rohingnya di negaranya, kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan bagi memanggil pulang buat sementara waktu duta Malaysia dari Myanmar sebagai tanda protes dan isyarat jelas dari negara kita yang menentang segala tindak tanduk kerajaan Myanmar.

Tidak ada guna jika kita masih ingin berkawan dengan negara berkenaan sekiranya segala nasihat, perbincangan, dan permintaan yang telah dibuat oleh kita serta oleh masyarakat antarabangsa tidak langsung didengari oleh kerajaan Myanmar.

Isu konflik kemanusiaan yang membabitkan penduduk etnik Rohingnya bukan satu isu yang baru berlaku, ianya telah berlaku buat sekian lama. Sudah ramai penduduk etnik Rohingya yang telah menjadi mangsa kekejaman dan penindasan dari kerajaan mereka sendiri serta golongan fanatik di sana.

Ramai penduduk etnik Rohingnya juga terpaksa melarikan diri ke negara – negara jiran termasuk Malaysia bagi mendapatkan perlindungan. Sampai bilakah tragedi kemanusiaan ini harus berlaku terhadap penduduk etnik Rohingnya berkenaan?

Kita tidak hanya boleh duduk diam, melihat, dan meluahkan rasa simpati sahaja tanpa sebarang tindakkan yang lebih keras diambil. Pelbagai langkah boleh diambil bagi menyedarkan kerajaan Myanmar bahawa konflik kemanusiaan yang berlaku terhadap penduduk etnik tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian.

Langkah memanggil pulang duta Malaysia dari Myanmar untuk sementara waktu sehingga kerajaan Myanmar mengubah sikap mereka terhadap isu berkenaan dilihat boleh dilakukan kerana ia adalah satu langkah simbolik yang keras bagi memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan segala bentuk kekejaman dan penindasan yang dilakukannya terhadap penduduk etnik Rohingya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here