Seperti diketahui umum, Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan politiknya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ini merupakan kemuncak kepada keputusan PAS untuk berdiri sendiri dalam menjadi kuasa ketiga di waktu pilihan raya umum akan datang. Strategi baru PAS ini dilihat sebagai satu bentuk pertentangan baru dalam politik negara. Perseteruan PAS dengan parti-parti pembangkang di dalam Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin sukar untuk dipulihkan dan ini turut terkait dengan kenyataan-kenyataan tajam pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat tidak menggemari PAS di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Namun begitu, pada Sabtu lalu, Hadi menerusi laman Facebook rasmi beliau telah memuat naik gambar kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin ke atas beliau. Apabila gambar berkenaan mula tular dan menimbulkan pelbagai tanda tanya, Azmin dengan pantas memaklumkan kunjungan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agenda politik. Hal sama turut diakui Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Walaupun semua pihak yang terlibat dalam pertemuan itu tidak mempunyai kaitan dengan politik dan bersifat kunjungan biasa semata-mata, namun hal ini telah sedikit sebanyak memberikan pandangan luar biasa terhadap langkah politik yang cuba diatur PKR. Walaupun hubungan politik kedua-dua parti telah lama berakhir dan PKR juga telah menyatakan komitmen terhadap PH, namun di negeri Selangor Azmin masih mengekalkan beberapa Exco Kerajaan Negeri daripada PAS. Malah Azmin juga dilihat sebagai pemimpin PKR yang agak berlembut dengan parti Islam berkenaan.

Satu hal terpenting ialah bagaimana pandangan parti-parti lain dalam PH yang telah menganggap PAS sebagai seteru. Kini apakah mereka mula curiga dengan langkah yang diatur PKR? Ini persoalan terpenting yang masih belum dapat dijawab. Kepimpinan PH telah berkali-kali menegaskan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, perlawanan satu menentang satu adalah yang paling ideal untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Melihatkan PAS kini bersedia untuk bertanding di lebih banyak kerusi, sudah tentu hasrat satu lawan satu itu sukar untuk dicapai. Lebih memeranjatkan ialah PAS baru-baru ini juga telah mengumumkan secara rasmi kesediaan parti berkenaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, kerusi yang kini diduduki oleh Wan Azizah. Sehubungan itu, pertemuan dengan Hadi ini penting untuk dibincangkan dari sudut politik, memandangkan berlaku pelbagai hal yang melibatkan kedua-dua parti.

Jika berdasarkan kepada keperluan politik semasa, PKR bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan PAS berkaitan pengagihan kerusi bagi menetapkan pertentangan satu lawan satu dengan BN, maka apakah kesediaan yang sama turut dipegang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), AMANAH dan BERSATU? Ini satu persoalan yang wajar dibincangkan secara jelas. Apakah AMANAH yang merupakan serpihan dari PAS itu bersedia untuk berkompromi? Dan bagaimana masa depan AMANAH yang bercita-cita menjadi parti pengganti kepada PAS?

Begitu juga dengan BERSATU dan DAP, adakah kedua-dua parti ini bersedia untuk bekerjasama dengan PAS demi mencapai kesepakatan mengadakan pertentangan satu lawan satu dengan BN. Berdasarkan kepada keadaan ini, kerapuhan PH masih belum mampu ditutup dan pembinaan PH sebagai gabungan politik yang mantap masih melalui jalan berduri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here