LAWATAN dan pertemuan antara delegasi Pakatan Harapan (PH) dengan delegasi Kesatuan Eropah (EU) yang diketuai dutanya ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez di Petaling Jaya baru-baru ini nyata telah mencuri perhatian pemerhati politik dan orang ramai. Malah, sehingga hari ini ianya masih mengundang reaksi yang bukan sedikit daripada beberapa pemimpin terutamanya mereka yang berada dalam kem kerajaan.

Secara umumnya, ramai melihat pertemuan yang berlaku antara kedua-dua pihak itu sebagai satu formaliti biasa walaupun ianya dikatakan berkait rapat dengan pilihan raya umum (PRU) yang akan diadakan tidak lama lagi. Pandangan seumpama itu tidak ada salahnya kerana beberapa pertemuan seumpama itu sememangnya pernah berlaku sewaktu lawatan pemimpin-pemimpin utama dunia ke Malaysia.

Contoh yang paling jelas mungkin boleh dilihat sewaktu lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama pada April 2014 di mana beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang dan pertubuhan masyarakat tanahair pada ketika itu. Antara pertubuhan yang menyertai pertemuan itu termasuklah BERSIH, Majlis Peguam dan SUHAKAM.

Namun pertemuan antara delegasi PH yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan delegasi EU pada Jumaat lalu wajar dinilai dan dilihat daripada sisi yang berbeza memandangkan pertemuan tersebut dikatakan berlaku atas permintaan Mahathir sendiri. Malah, bukan rahsia lagi bahawa PH kini meminta EU untuk bertindak sebagai badan pemantau PRU14 dengan alasan bahawa sistem pengendalian pilihan raya di negara ini ‘meragukan’.

Helah Untuk Menekan Najib

Atas faktor tersebut, pertemuan antara delegasi PH yang diketuai Mahathir dengan EU itu pastinya menjadi satu lagi langkah terbaru yang direncana Pengerusi PPBM itu bagi menunjukkan kepada rakyat dan dunia amnya bahawa PH kini sudah berjaya mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa untuk mengambil alih pentadbiran negara. Dalam erti kata yang lain, Mahathir cuba memberitahu rakyat negara ini bahawa pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib Razak pula seolah-olah telah hilang kepercayaan institusi antarabangsa lantaran beberapa isu dan skandal pentadbiran yang sehingga kini nampaknya masih belum mampu dibuktikan.

Maka pertemuan dengan para diplomat EU itu pada masa yang sama mencerminkan betapa buntunya Mahathir dalam mencari jalan untuk menghakis kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negara. Mahathir sedar bahawa segala usahanya untuk memburukkan Najib setelah beliau keluar UMNO pada Februari 2016 tidak menunjukkan banyak hasil yang nyata. Malah tindakannya yang ‘merampas’ perjuangan pembangkang selama ini dibantah dan dibangkang pula oleh sejumlah besar penyokong PH. Pertemuan delegasinya dengan duta EU kelmarin menunjukkan betapa terdesaknya seorang bekas perdana menteri yang di hujung usianya masih lagi bercita-cita untuk kembali mengetuai kerajaan negara.

Lebih malang, tindakan terbaharu Mahathir ini dilihat sebagai bertentangan dengan amalan dan polisi pentadbiran beliau sewaktu menjadi perdana menteri dahulu. Di zamannya, Mahathir bahkan cuba menggunakan kuasanya untuk menyekat dan menghalang sebarang perjumpaan antara duta asing dengan pembangkang pada ketika itu. Baginya, pertemuan seumpama itu ‘memudaratkan’ negara walaupun ianya hanya sekadar membincangkan mengenai hubungan semasa antara negara terlibat. Tetapi hari ini, Mahathir sendiri melanggar ‘prinsipnya’ itu. Jelas sekali beliau cakap tak serupa bikin. Segalanya boleh dan halal bagi bekas perdana menteri itu jika ia membantu mencapai matlamat politiknya.

EU Dan Dasar Luar

Sebagai salah sebuah badan ataupun institusi antarabangsa yang paling berpengaruh, EU sememangnya terlibat secara aktif dalam pelbagai isu melibatkan hal ehwal antarabangsa yang tidak hanya terhad di Eropah. Ramai yang melihat EU sebagai sebuah entiti yang hanya berorentasikan ekonomi sedangkan fungsi dan peranan yang dimainkannya jauh lebih besar dan luas daripada itu.

Sebagai contoh, EU telah memainkan peranan penting dalam proses damai antara Palestin dengan Israel walaupun konflik itu tampak akan terus berpanjangan dan sama sekali tidak akan berakhir dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi dengan polisi berat sebelah AS mengenai isu tersebut. Selain itu, EU juga merupakan peneraju dalam perjanjian nuklear Iran sehingga ke hari ini di samping memainkan peranan yang begitu kuat dalam memastikan perubahan rejim di beberapa negara di rantau Arab dan Afrika. Maka jelaslah daripada kesemua contoh ini, polisi EU sememangnya merentasi sempadan Eropah, dan dalam beberapa keadaan ia turut bercita-cita mencampuri urusan dalaman negara-negara lain. Inilah yang perlu diambil berat dan diberikan perhatian oleh rakyat.

Potensi Campur Tangan Asing

Justeru, apabila delegasi PH bertemu dengan delegasi EU minggu lalu, rakyat boleh menjangkakan bahawa langkah itu adalah bagi PH meminta EU campur tangan dalam urusan dan hal ehwal dalaman negara, setidak-tidaknya secara lisan. Lebih tepat, dalam keadaan negara sedang bersiap sedia menghadapi PRU, delegasi PH secara terang-terangan mencalarkan imej negara apabila membangkitkan pelbagai isu negatif dalam pertemuan tersebut. Ini perlu dilihat sebagai satu lagi tindakan yang tidak patriotik oleh pakatan pembangkang dan tentunya berpotensi menjadi pencetus kepada permulaan campur tangan asing dalam negara ini.

Sebagai rakyat, kita tentunya tidak mahu campur tangan yang bermula secara lisan dibiarkan secara perlahan-lahan bertukar menjadi fizikal. Maka ada baiknya orang ramai menilai sendiri tingkah laku pembangkang mutakhir ini yang nampaknya sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa. Dalam keadaan pembangkang secara berterusan mendakwa kepimpinan Najib kini sedang ‘menggadai’ kepentingan negara kepada kuasa asing, lawatan dan pertemuan pemimpin mereka dengan para diplomat EU pada Jumaat lalu pula wajar dihakimi oleh rakyat dengan pertimbangan mengenai siapakah yang sebenar-benarnya mempertahankan imej dan kedaulatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here