BN

KEPUTUSAN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada minggu lalu untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS dijangka akan dipatuhi semua komponen pakatan tersebut termasuklah PKR yang sejak akhir-akhir ini terpalit dengan krisis dalaman lantaran usaha mereka mendekati PAS.

Keputusan itu juga bermakna ianya seakan-akan hampir pasti bahawa rakyat akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan BN-PH-PAS di kebanyakan kerusi majoriti Melayu.

Dari satu perspektif, pertembungan seperti ini tampak menyebelahi BN. Keputusan PAS untuk bersendirian dilihat akan memecahkan undi pembangkang terutamanya undi orang Melayu yang selama ini menyokong mereka melalui Pakatan Rakyat (PR) yang wujud pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Apa Yang Ramai Jangka

Dengan pecahan undi ini, PH bakal berdepan masalah dalam mempertahankan Selangor selain berkemungkinan melihat sedikit kemerosotan dalam undian orang Melayu terhadap pakatan itu di Pulau Pinang. Malah, cubaan mereka untuk menguasai Kelantan mungkin hanya akan tinggal angan-angan.

Pecahan undi sebegini disifatkan menguntungkan BN dengan jangkaan bahawa pola undian terhadap perikatan tersebut, jika tidak pun meningkat, pasti setidak-tidaknya akan kekal dan tidak merosot.

Bagi PAS pula, keputusan untuk bersendirian dalam menghadapi PRU14 kelak disifatkan sebagai berani. PAS melihat ketidakpekaan PH terhadap perjuangan memartabatkan Islam selain pelbagai isu negatif yang membelenggu pentadbiran negara yang diterajui UMNO dan BN menjadikan mereka sebagai alternatif buat rakyat khususnya orang Melayu.

Parti Islam itu tampaknya begitu yakin untuk menguasai kerusi majoriti Melayu. Jika tidak, masakan mereka berani mengintai untuk meletakkan calon di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor termasuklah kerusi yang disandang ketika ini oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (DUN Kajang) dan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali (DUN Bukit Antarabangsa).

BN Usah Terlalu Selesa

Walau bagaimanapun, pertembungan tiga penjuru yang dilihat merugikan pembangkang tidaklah sewajarnya dilihat sebagai satu keuntungan mutlak buat BN mahupun kelebihan buat PAS.

Jika pertembungan seumpama ini dilihat memecahkan undi orang Melayu terhadap pembangkang antara PH dengan PAS, BN juga seharusnya melihat sokongan orang Melayu terhadap mereka yang pada bila-bila masa sahaja boleh beralih ke PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui bekas perdana menteri dan presiden UMNO yang paling lama dalam sejarah, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jika pertimbangan ini diambil kira, BN juga bakal berdepan masalah yang sangat serius untuk mempertahankan Kedah. Selain faktor Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kurang popular, pengaruh bekas perdana menteri itu dan anaknya Mukhriz juga sangat besar di negeri jelapang padi itu.

Ketika BN mungkin sedikit lega dengan pertembungan tiga penjuru ini, mereka juga sepatutnya bimbang dengan tren sokongan rakyat di kawasan bandar khususnya pengundi muda.

PRU yang lalu menyaksikan kesemua ibu negeri Malaysia kecuali Kangar dan Johor Bahru dipegang pembangkang. Secara jujurnya juga, BN perlu melihat Johor sebagai satu lagi negeri yang berpotensi dirampas pembangkang jika tidak diberi perhatian serius. Pengaruh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Presiden PPBM juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Antara Cita-Cita Dan Angan-Angan PAS

Bagi PAS pula, tekad mereka untuk merebut Selangor daripada PH sememangnya satu cita-cita besar. Namun ianya boleh bertukar menjadi sekadar angan-angan jika ianya diputuskan tanpa pertimbangan yang lebih mendalam.

Sentimen pengundi di Kelantan dan Terengganu sememangnya begitu unik dan berbeza. Sentimen politik di kedua-dua negeri itu nampaknya lebih berkisarkan isu-isu agama dan atas faktor tersebut, PAS dilihat masih mampu untuk mengekalkan Kelantan selain berpotensi untuk terus mengancam kedudukan BN di Terengganu.

Walau bagaimanapun, sentimen ini tidak begitu dikongsi di negeri-negeri lain di Malaysia. Iklim politik di negeri-negeri yang membangun dan maju seperti Selangor lebih diwarnai isu-isu rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup, 1MDB dan isu-isu lain yang membelenggu pentadbiran BN.

Tindakan PAS untuk bersendirian menentang PH kali ini selain pendirian mereka yang sedikit sepi mengenai isu-isu rakyat yang berbangkit di Parlimen sedikit sebanyak membuatkan mereka dilihat mesra BN.

Maka, tidak mustahil jika sebahagian penyokong mereka mula melihat undi untuk PAS bererti undi untuk BN juga. Walaupun keahlian parti Islam itu sememangnya besar, kemungkinan untuk sokongan sebahagian mereka beralih kepada PH khususnya Amanah di Selangor dan negeri-negeri lain tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

SHARE
Previous articleKenapa Beria Pertahankan Etnik Rohingya?
Next articleCadang Idea Anda untuk Bajet2018
Nuh Abqari regards himself as a political scientist who actively does the outdoors, hiking and football in particular. Having led a modest life, he hates every overrated thing. Like Manchester United.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here