Ketuanan Melayu

TINDAKAN Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak konsep ketuanan Melayu bukan sesuatu yang begitu menghairankan.

Kenapa Mahathir berbuat demikian?

Ia kerana Mahathir memahami perjuangan untuk orang Melayu tidak dapat dilaksanakan di dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Ini memandangkan Mahathir kini sudah bersama dengan kelompok yang pernah beliau anggap mendukung konsep Malaysian Malaysia yang pastinya akan membelakangkan Melayu.

Sebab itulah apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan cadangan agar orang Melayu perlu menjadi tonggak dalam Pakatan Harapan, Mahathir sebagai pengerusi parti tersebut tidak mampu berkata apa-apa.

Sebaliknya Mahathir meneruskan sikap ibarat menjilat ludah sendiri apabila melupakan peringatan yang pernah beliau lontarkan pada Oktober 1988 berhubung ancaman politik DAP.

Mahathir dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO ketika itu memaklumkan, kerana perpecahan dalam kalangan orang Melayu, DAP nampak peluang mereka untuk menjadi dominan.

Dengan itu, mereka begitu rajin bekerjasama dan memberi sokongan kepada kumpulan serpihan UMNO untuk melemahkan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan sekali gus kedudukan orang Melayu.

Persoalannya, siapakah ketika ini menjadi ejen kepada DAP bagi melaksanakan agenda politik parti itu?

Pada 19 Ogos 2000, Mahathir menyatakan bahawa dia tidak akan berganjak walau satu langkah pun dalam mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu di negara ini.

Tetapi Mahathir akhirnya tunduk dan turut memperlekehkan ketuanan Melayu.

Apakah itu ketuanan Melayu?

Tiada kamus yang mendefinisikan terma ketuanan Melayu. Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut merujuk kepada dominasi bangsa Melayu. Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil kontrak sosial.

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.

Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu – dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan dinafikan.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.

Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu juga, cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera realitinya adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.

Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu.

Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan Malaysian Malaysia.

Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang kepada penubuhan Malaysia.

Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu.

Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah Ketua atau Tuan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu akan membabitkan pindaan Perlembagaan secara keseluruhannya, jika bukan pembentukan Perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan bencana politik dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 kembali berulang.

Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham dan jelas dengan konsep ketuanan Melayu.

Adakah Mahathir tidak faham mengenai konsep itu atau sengaja buat tidak faham demi cita-cita politiknya?

Adakah Mahathir menolak ketuanan Melayu demi menjaga hati DAP?

Hakikatnya tindak tanduk Mahathir memang menggembirakan DAP. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah mencari bahan atau modal untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong parti itu dan Pakatan Harapan kerana segala-galanya sudah diuruskan bekas Perdana Menteri itu.

‘Terima kasih’ Mahathir di atas usaha gigihmu untuk melenyapkan ketuanan Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here