Barisan Nasional (BN) berkata, Pakatan Harapan (PH) menipu rakyat dengan memberi persepsi PPBM adalah parti terbesar dalam gabungan 4 parti pembangkang itu dengan diperuntukkan kerusi Parlimen terbanyak di Semenanjung Malaysia, melalui formula pembahagian kerusi yang diumumkan Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To berkata, parti terbesar dalam sesuatu gabungan ditentukan jumlah kerusi yang dimenangi mereka, bukannya jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Tambahan, katanya, PPBM berdepan kesukaran memenangi 52 kerusi Parlimen yang merupakan kubu kuat Umno dan PAS, selain mungkin berdepan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, beliau berkata, DAP hanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, di mana kemungkinan mereka untuk menang lebih banyak kerusi jauh lebih besar.

“Yang penting ialah jumlah kerusi yang dimenangi. Pada PRU13, PKR diberi 99 kerusi – jauh lebih banyak daripada jumlah 51 kerusi yang ditandingi DAP.

“Tetapi, DAP menjadi kuasa terbesar dalam Pakatan dengan 38 kerusi berbanding 30 kerusi yang dimenangi PKR. Begitu juga PAS diberikan 74 kerusi, jauh lebih banyak daripada DAP untuk bertanding pada PRU13 dan menang 21 kerusi sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan Amanah (27 kerusi).

See-To berkata, PH sepatutnya jujur dalam formula pembahagian kerusi untuk semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, bukannya hanya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Jumlahnya hanya 165 kerusi (dari 222 kerusi) kerana tidak termasuk kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah. Tanggungjawab perdana menteri bukan hanya untuk Semenanjung Malaysia, tetapi untuk seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ada lagi 57 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak. Sama dengan masa PRU13, DAP akan bertarung sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kerusi lagi di sana – tidak termasuk kerusi-kerusi yang juga akan diberi kepada kawan rapatnya, Amanah yang juga bertanding di Sabah dan Sarawak.

“PPBM tiada cawangan di Sabah/Sarawak dan tidak akan bertanding di sana. Jumlah kerusi ditandingi tidak penting.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here