persepsi

Persepsi orang ramai tentang kewujudan ‘Little Dhaka’ akibat kehadiran banyak rakyat Bangladesh di kawasan tertentu di Kuala Lumpur, seperti di sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Petaling, perlu diatasi, kata Ketua pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali.

“Melalui operasi yang kami jalankan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini, kami dapati terdapat begitu banyak rakyat Bangladesh di sekitar kawasan itu.

“Kami syak kebanjiran pendatang ini mungkin berpunca daripada aktiviti perhambaan moden atau mereka tidak diperlukan dalam pelbagai sektor di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai upacara melafaz Ikrar Bebas Rasuah anggota jabatan itu di Labuan semalam.

Mustafar berkata kebanjiran rakyat Bangladesh perlu diatasi kerana ia boleh menyebabkan rakyat Malaysia terpengaruh dengan budaya mereka yang tidak diingini.

Kata beliau, jabatan itu juga akan memantau perbuatan menyalah guna pas pelajar dan pas lawatan serta memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

“Kami mahu mengawal ketat keadaan ini kerana ia boleh mewujudkan penyakit sosial seperti pelacuran, penipuan melalui cinta palsu dan dadah,” katanya

Beliau juga berkata, Jabatan Imigresen akan bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pendatang yang tidak mempunyai dokumen sah dan mereka yang menyalahgunakan pas masuk ke negara ini.

Beliau berkata pemantauan ketat juga dilakukan di 137 pintu masuk di seluruh negara bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengganas.

Menurutnya, jabatan itu telah mengenal pasti beberapa lorong tikus dan lorong gajah yang digunakan sebagai laluan masuk PATI ke negara ini.

“Kami harap, Akta Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM), yang baru diluluskan akan meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin, termasuk melalui sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here