PERSEMPADANAN semula sentiasa menjadi antara isu yang paling sensitif apabila menjelangnya pilihan raya umum (PRU). Ianya bukan sahaja menjadi pertikaian di negara ini, malah apa yang dipanggil gerrymandering dalam Bahasa Inggeris itu sudah diperdebatkan begitu lama di Barat mengenai sejauh mana amalan tersebut benar-benar harmoni dengan sistem demokrasi yang dipilih.

Di Malaysia umpamanya, ramai juga yang melihat amalan persempadanan semula ini sebagai sesuatu yang negatif, lebih-lebih lagi apabila ianya dikaitkan dengan manipulasi sistem pilihan raya bagi memenangkan parti pemerintah. Persepsi seumpama itu nyata sukar sekali dielak biarpun pihak yang berwajib tampil dengan penafian yang berbukti. Sentimen dan persepsi songsang itu bahkan turut wujud di negara-negara maju yang lain waima Amerika Syarikat (AS) sekalipun.

Namun, hal itu kekal sebagai persepsi semata-mata jika tidak dibuktikan sebaliknya. Hakikatnya, amalan persempadanan semula sebenarnya wujud atas pelbagai faktor penting yang mendesak. Faktor-faktor inilah yang akhirnya menunjukkan betapa amalan itu perlu terus kekal dan relevan dalam jangka masa panjang terutamanya di negara-negara yang kian membangun seperti Malaysia.

Imbangan Penduduk

Sesuai dengan status menuju negara maju, secara umumnya rakyat telah mengambil maklum bahawa migrasi penduduk daripada sesebuah negeri ke sebuah negeri lain di Malaysia telah berlaku dengan rancak dan meluas. Peluang pekerjaan yang lebih cerah dan pembangunan industri serta perniagaan memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini. Kesannya, kita mendapati terdapat beberapa kawasan di negara ini yang memiliki kepadatan penduduk yang sangat tinggi sehinggakan ia tidak berkadaran ataupun berpadanan dengan kawasan dengan keluasan yang hampir sama di tempat lain.

Di sesetengah kawasan Parlimen di Malaysia kita melihat telah wujud kepadatan penduduk melebihi 100,000 orang, sedangkan di beberapa kawasan Parlimen yang lain kita melihat ada yang jumlahnya kurang separuh daripada itu. Jika dilihat dan dikaji demografi pengundi pada PRU13 yang lalu, kita akan mendapati terdapat sejumlah sembilan kawasan Parlimen yang mempunyai lebih 100,000 pengundi iaitu Gombak (123,290), Selayang (105,895), Hulu Langat (127,347), Serdang (133,139), Subang (128,543), Kapar (144,159), Puchong (107,010), Kelana Jaya (101,236) dan Kota Raja (105,909).

Jelas kita lihat daripada data ini, ia menunjukkan kesemua kawasan Parlimen ini terletak dalam negeri Selangor yang mana kerajaan negerinya kini dalam proses mencabar kajian persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Begitu juga dengan pembangkang negeri, BN yang turut membuat bantahan terhadap syor kedua kajian tersebut kerana didakwa tidak adil dan bakal memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU kelak.

Dari semasa ke semasa, tentunya kita akan terus mendapati isu ini dipertikaikan oleh pemain-pemain politik kerana amalan persempadanan semula ini sememangnya tidak akan dapat memuaskan hati mana-mana pihak 100 peratus. Ianya tugas yang sukar dan kompleks buat SPR. Tetapi dengan faktor ketidakseimbangan jumlah pengundi di beberapa kawasan, amalan ini tetap perlu diteruskan.

Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan membenarkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan dalam tempoh minimum setiap lapan tahun sekali sedangkan proses itu kali terakhir dilakukan adalah pada 2003. Satu syor persempadanan semula telah dibuat SPR pada 2011, tetapi ia kemudiannya ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada PRU13 yang berlangsung pada Mei 2013. Atas faktor penangguhan itu jugalah isu perubahan demografi yang semakin ketara perlu segera diselesaikan melalui persempadanan semula bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat tidak terabai.

Wakil Rakyat Lebih Fokus

Bagi wakil rakyat pula, persempadanan semula dilihat sangat penting bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan penyampaian mereka kepada rakyat. Persempadanan semula bakal memberi ruang kepada wakil rakyat untuk lebih mudah memberi fokus terhadap kawasan yang diwakili memandangkan jumlah pengundi dan keluasan kawasan yang lebih kecil. Faktor ini bakal membantu para wakil rakyat untuk memasuki lebih banyak kampung dan mana-mana lokasi untuk berjumpa dengan penduduk dengan lebih dekat selain memantau apa sahaja bentuk pembangunan yang berlaku di kawasannya.

Tambah Bilangan Kerusi Parlimen, DUN

Sebenarnya, persempadanan semula ini boleh diperkemaskan lagi dengan pertambahan bilangan kerusi Parlimen dan DUN di kawasan-kawasan berkaitan bagi mengimbangi jumlah pengundi. Buat masa ini, Parlimen mempunyai sejumlah 222 kerusi manakala DUN di seluruh negara berjumlah 576 kerusi. Ramai pemerhati politik yang mencadangkan agar SPR menambah antara 25 ke 30 kerusi baharu untuk kawasan Parlimen bagi membuat unjuran mengenai pertambahan bilangan rakyat di negara ini dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.

Pendapat yang sama juga terpakai di peringkat DUN. Di Sabah umpamanya, isu keluasan kawasan dan bilangan pengundi mendorong kerajaan negeri untuk menggazetkan peruntukan bagi menambah bilangan kerusi DUN sedia ada daripada 60 kepada 73 kerusi pada Ogos 2016. Namun, setelah lebih setahun, persoalan samada bilangan 73 kerusi DUN itu dapat direalisasikan menjelang PRU kelak masih belum dapat dipastikan kerana ianya memerlukan kelulusan di peringkat Parlimen dengan kesungguhan politik yang tinggi.

Ketepikan Perbezaan, Utamakan Rakyat

Situasi itu walau bagaimanapun tampak agak sukar direalisasikan setidak-tidaknya buat masa ini bukan sahaja di Sabah, malah di mana-mana kawasan Parlimen dan DUN sekalipun lantaran BN tidak memiliki majoriti dua per tiga di Parlimen. Keadaan akan menjadi lebih mudah sekiranya mereka turut dibantu oleh pertimbangan rasional sejumlah ahli politik pembangkang yang lain. Daripada 222 orang ahli parlimen, sejumlah 148 undi menyokong yang diperlukan untuk tujuan ini.

Maka atas sebab inilah kesemua pemain politik khususnya pembangkang wajar mengenepikan perbezaan ideologi mereka berkaitan isu persempadanan semula. Lihatlah isu ini daripada perspektif rakyat yang kepentingan dan kebajikan mereka perlu diutamakan. Jika persempadanan semula tidak disegerakan, tentu sahaja kita akan melihat sesetengah kawasan khususnya di Selangor memiliki kepadatan pengundi melebihi 150,000 dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang. Akhirnya ianya hanya akan menyusahkan wakil rakyat dan merugikan pula penduduk lantaran perkhidmatan penyampaian kerajaan yang pastinya tidak begitu efektif dan efisyen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here