Hamas

Setelah sekian lama dua parti politik utama Palestin yang sering bertelagah, Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian damai dan membuka lembaran kerjasama baru antara kedua-dua pihak di Kaherah semalam. Lebih menggembirakan persetujuan kedua-dua pihak ini juga bakal melihatkan sinar harapan terhadap perjanjian kerjasama yang pernah ditandatangani kedua-dua pihak, tetapi gagal memberikan apa-apa kesan, disebabkan tiada sebarang tindakan susulan daripada Hamas dan Fatah.

Ini ialah sejarah terpenting untuk krisis di Palestin demi mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara berkenaan. Perjanjian berkenaan turut memutuskan untuk pilihan raya di peringkat legislatif, presiden dan majlis negara akan diadakan setahun selepas persetujuan ini dicapai. Apa yang lebih penting ialah Hamas dan Fatah bersetuju untuk membentuk kerajaan sementara secara bersama-sama sebelum pilihan raya berkenaan diadakan.

Perkembangan menarik ini sebenarnya satu berita yang ditunggu-tunggu kerana dengan perpaduan sahaja Palestin akan mendapat keadilan sewajarnya. Sebelum ini, selain menerima tekanan dan penindasan berterusan dari Israel, pertelingkahan dan krisis dalaman antara Hamas dan Fatah juga telah memburukkan keadaan. Penguasaan Hamas di Gaza dan Fatah di Tebing Barat secara berpecah-pecah sebenarnya amat menyukarkan.

Lompong yang tinggal di sebalik perpecahan ini telah diambil kesempatan seluas-luasnya oleh Israel untuk terus mengasak Palestin. Israel sebagai sebuah negara haram amat berharap dapat menakluk Palestin secara total bagi melenyapkan negara berkenaan dan ketidakstabilan politik di Palestin telah memburukkan lagi keadaan. Namun begitu, dengan perpaduan yang dicapai kini, wajah Palestin dilihat kembali bakal pulih dan sebarang usaha Israel untuk menggugat keamanan di negara berkenaan mungkin akan kembali sukar.

Di sebalik keputusan positif yang dicapai demi masa depan Palestin ini, Israel jelas dilihat tidak senang dengan perkembangan terbaru itu. Israel sebelum ini hanya selesa berunding dengan Fatah dan menganggap Hamas sebagai pertubuhan pengganas, namun kini Israel perlu menerima hakikat bahawa kedua-dua parti politik utama di Palestin ini telah bersatu demi masa depan warga Palestin. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan menyatakan persefahaman yang dicapai Hamas dan Fatah bakal memusnahkan peluang perjanjian damai Palestin dan Israel.

Kenyataan ini jelas satu kenyataan tempang yang dibuat dengan dasar emosi dan bimbang. Israel sebenarnya sedang berada dalam keadaan takut melihatkan persefahaman ini tercapai. Buat pertama kali dalam sejarah sebarang perbincangan dan rundingan antara Palestin dengan Israel akan dilaksanakan melalui satu suara dan bukan lagi dua seperti sebelum ini. Keadaan ini sudah tentu dinilai sebagai sukar oleh Israel kerana ruang untuk mereka memanipulasi keadaan semakin sempit dan tertutup.

Jelas sekali perpaduan ialah kunci kepada kejayaan dalam mana-mana negara di dunia. Contoh terbaik yang sedang diberikan Hamas dan Fatah kepada seluruh dunia wajar diambil iktibar kerana sejak berpuluh-puluh tahun kedua-dua pihak berpecah, pihak musuh amat gembira dengan perpecahan ini dan berjaya menggunakan ruang perpecahan itu untuk terus menindas. Namun, dengan sekali keterbukaan hati dan salam perdamaian untuk perpaduan dicapai, musuh kembali resah dan melihat jalan penindasan semakin menghampiri penghujung. Satu hal yang perlu diingat, keputusan politik antarabangsa yang paling baik ialah membuatkan musuh yang sebelum ini tenang, menjadi resah dan tidak gembira.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here