Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mempertimbangkan untuk menaikan harga kenderaan ekoran penyusutan nilai ringgit ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata pertimbangan itu dibuat selepas syarikat pengeluar kereta kompak nasional tersebut mencatat penyusutan keuntungan sebelum cukai sebanyak 5 peratus setakat ini.

“Kejatuhan nilai ringgit memberi impak kepada kos operasi syarikat untuk jangka masa panjang. Kita cuba mengekalkan harga untuk semua model keluaran Perodua namun penyusutan nilai ringgit berterusan menyebabkan kita perlu menilai semula harga.”

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran Perodua Sentral di sini, hari ini. Majlis tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Aminar Rashid berkata hampir 90 peratus komponen Perodua dipasang secara tempatan, namun masih wujud sesetengah komponen yang diimport menggunakan Dolar AS, sekaligus memberikan tekanan kos kepada syarikat.

Sementara itu, Mustapa berkata pihak kementerian bersama Institut Automotif Malaysia (MAI) akan terus berhubung dengan peserta industri bagi melihat kesan kejatuhan nilai ringgit dan bantuan yang boleh disalurkan.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan apa yang boleh dilakukan. Kami masih mengkaji kesan, sudah pasti kelemahan ringgit menjejaskan industri secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut mengulas tindakan NAZA Automotive Manufacturing (NAM) yang membuang lebih 300 pekerja baru baru ini.

“Kebanyakan pekerja ini telah diserap oleh perserta industri automotif lain. Ia bukan sesuatu yang membimbangkan jika dibandingkan pada tahun 1998.”

Sementara itu, beliau berkata Jumlah Volum Industri (TIV) 2015 dijangka stabil meskipun berlaku penyusutan 3.2 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini.

“TIV yang disasar sebenarnya lebih tinggi dari tahun lepas,” katanya.

Turut berkongsi pasaran sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Madani Sahari yang berkata jualan akan kembali meningkat bergerak kepada penghujung tahun.

“Pengeluar akan mula mempromosi secara besar besaran menjelang akhir tahun dan saya galakkan orang ramai membeli kereta.”

TIV 2015 disasar pada 680 ribu sebelum diturunkan kepada 670 ribu pasca pelaksanaan GST.

Sumber: Astro Awani

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here