Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mahu penduduk negeri itu mengubah minda sambil meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi menyokong rancangan menjadikan Perlis sebagai negeri penjana ekonomi berimpak tinggi menjelang tahun 2030.

“Untuk merealisasikan rancangan itu, rakyat perlu bersedia dengan kebolehan tertentu atau peluang yang datang hasil pembangunan akan direbut orang luar,” katanya.

Menurutnya perancangan tersebut menekankan peningkatan produktiviti, daya saing, inovasi dan aktiviti nilai tambah dalam sektor utama ekonomi serta menjadikan Perlis negeri bandaraya berpendapatan tinggi pada 2030.

Oleh itu, rakyat Perlis perlu mengubah minda dan mula merancang usaha dengan skala besar.

“Jika sebelum ini hanya bercerita untuk baiki jalan kampung, cuci parit dan sungai serta turap jalan kampung, sekarang kita mesti lihat perkara lebih besar dan jangka panjang kerana limpahan ekonomi dijangka lebih besar,” katanya.

Azlan berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan elaun kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Parlimen Padang Besar bagi Ogos 2015 di Dewan Seri Melati, di sini malam tadi.

Beliau berkata kawasan strategik seperti Kangar akan mempunyai terminal pengangkutan awam bersepadu manakala Kuala Perlis sebagai bandar maritim dan Padang Besar pula menjadi hab industri dan pelabuhan darat bertaraf antarabangsa.

Projek yang bakal dibangunkan ialah taman makanan halal, zon industri bebas, agropelancongan, universiti antarabangsa, pelancongan antara sempadan dan perikanan laut dalam, kata Azlan.

Mengenai pembinaan Kangar Central sebagai mercu tanda Kangar, Menteri Besar itu berkata projek itu masih di peringkat pertimbangan kerana ia adalah inisiatif pihak swasta.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here