Sunday, June 24, 2018
Home News Biz Perkembangan Positif Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh Beri Kelegaan Kepada Rakyat...

Perkembangan Positif Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh Beri Kelegaan Kepada Rakyat Perlis

0
832

KANGAR 10 Sept. – Penduduk negeri ini khusus- nya di bahagian barat mungkin boleh menarik nafas lega dengan perkembangan terkini projek pembinaan terowong laluan air sepenuh masa di Tebing Tinggi di sini, yang sudah pun siap 70 peratus.

Ini kerana dengan adanya te- rowong itu, isu banjir yang se­ring kali menghantui penduduk di kawasan terbabit apabila tibanya musim hujan, diyakini dapat diatasi.

Pembinaan terowong itu adalah salah satu daripada beberapa komponen utama Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh yang bernilai lebih RM260 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan terbabit.

Tambah menarik, terowong sepanjang 756 meter yang menembusi banjaran batu kapur berusia lebih 500 juta tahun itu direkodkan sebagai terpanjang di dalam negara.

Sekiranya siap kelak, air daripada empangan Timah Tasoh di Padang Besar akan mengalir di dalam 3/4 terowong setinggi tujuh meter dan selebar 10 meter itu.

Ini sekali gus bakal menjadi salah satu lagi ikon buat negeri ini untuk menarik kedatangan pelancong atau penggemar aktiviti lasak seperti sukan berkayak di dalam terowong yang tiada di mana-mana tempat di Malaysia.

Menggunakan teknik korek dan letup, pembinaan terowong itu yang menggunakan kepakaran sebuah syarikat kejuruteraan dari China, berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya pembentukan banyak kaviti bawah tanah ekoran struktur banjaran adalah terdiri daripada batu kapur.

Ia boleh membahayakan nyawa 200 hingga 300 pekerja yang bertugas selama 24 jam sepanjang 197 hari aktiviti pengorekan dijalankan.

Pasukan projek itu juga berhadapan dengan kesukaran membawa masuk jentera-jentera berat dari China ke kawasan terbabit kerana lokasinya yang sempit.

Selain itu, pembinaan terowong tersebut dianggap unik kerana kerja-kerja korekan dimulakan di bahagian laluan air keluar iaitu di Kampung Wai dan bukan di laluan air masuk di Tebing Tinggi.

Ini disebabkan kawasan Tebing Tinggi berdekatan dengan Sungai Korok dan sekiranya berlaku banjir, air akan melimpah masuk ke kawasan tapak lokasi.

Berbanding terowong-terowong lain yang dibina di seluruh dunia, laluan ditebuk dari kedua-dua arah dan bertemu di bahagian tengah terowong.

Dalam pada itu, Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh yang membabitkan pembinaan satu terusan sepanjang 22 kilometer diwujudkan bagi tujuan pengaliran air berlebihan dari empangan Timah Tasoh yang berkapasiti 158 meter padu sesaat ke laut Selat Melaka di Kuala Perlis.

Terowong terbabit pula perlu bagi mengelak terusan itu melalui kawasan-kawasan kampung dan boleh menjejaskan banyak tanah penduduk.

Pada 2010, sebanyak 47,000 hektar kawasan di negeri ini dinaiki air dalam banjir terburuk dan menjejaskan 63,000 penduduk serta kerugian RM200 juta.

Sumber: UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here