KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairul Azwan Harun menyifatkan kenyataan seorang pimpinan Pemuda MCA membenarkan ahli pemuda parti itu menyertai himpunan Bersih 4 seperti tikaman belakang dari rakan komponen BN. Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, berkata kenyataan terbuka Chong Sin Woon dalam media membenarkan ahli pemuda MCA menyertai himpunan itu adalah tidak sepatutnya.

“Ingin saya ingatkan saudara Chong bahawa beliau memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dalam Pergerakan Pemuda BN, ..justeru tidak sepatutnya untuk (menggalakkan) ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita. “Kenyataan seperti ini boleh diibaratkan seperti satu tikaman dari belakang dari rakan komponen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, beliau mengingatkan Chong bahawa beliau dan Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin pernah diberikan pelbagai nama dan label oleh NGO dan kumpulan tertentu kerana mereka mempertahankan kerajaan dan rakan-rakan di dalam BN.

“Selaku pemimpin kami faham nilai persahabatan dan ikatan antara kita dan kami meletakkan kepentingan BN lebih daripada kenyataan dan pendirian populis jangka masa pendek. “Sekiranya beliau tidak mampu mempertahankan kerajaan mungkin beliau perlu memikirkan semula kedudukan beliau dalam kerajaan,” katanya. Sehubungan itu, Khairul Azwan berkata, pihaknya minta Pemuda MCA memperbetulkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu itu demi kebaikan dan kepentingan Barisan Nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here