keselamatan

Pihak – pihak yang berkaitan khusus dengan aspek pemantauan keselamatan premis dan bangunan dalam negara kita perlu mengadakan pemeriksaan terperinci dan menyeluruh terhadap tahap keselamatan semua sekolah dan pusat tahfiz yang ada dalam negara kita. Ini susulan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pagi Khamis yang lalu yang menyaksikan kematian seramai 25 orang majoritinya adalah pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Kejadian kebakaran yang berlaku di sekolah dan pusat tahfiz ini bukan lah satu perkara yang jarang kita dengari. Kejadian sama juga pernah berlaku hampir 28 tahun yang lalu apabila asrama perempuan, atau Madrasah, di Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah atau “Pondok Pak Ya” di Guar Chempedak, Kedah musnah dijilat api.

Kira – kira 27 orang pelajar termasuk kanak – kanak perempuan telah terkorban. Risiko kebakaran tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana – mana pihak dalam negara kita kerana ia boleh membawa kemusnahan teruk bukan sahaja kepada harta benda dan premis malah boleh membawa kepada kecederaan serta kematian.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran di sesebuah premis atau bangunan seperti faktor kecuaian atau kelalaian, faktor kurangnya proses penyelengaraan terhadap keselamatan premis dan bangunan, sistem pendawaian yang kurang sempurna, kurangnya ilmu dan latihan bagi menghadapi situasi kecemasan, pengunaan alatan atau bahan mudah terbakar, dan lain – lain lagi. Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua sekolah dan pusat tahfiz dalam negara kita memberi penekanan terhadap aspek keselamatan di tempat mereka dengan menyediakan segala kemudahan dan fasiliti canggih berkaitan dengan aspek pencegahan dan kawalan kebakaran.

Pihak pengurusan sekolah dan pusat tahfiz perlu proaktif dalam memastikan aspek keselamatan di tempat mereka terjamin sepanjang masa. Tragedi terbaru yang berlaku khamis yang lalu perlu membuka mata semua pihak dalam negara kita supaya tidak sesekali memandang ringan terhadap aspek keselamatan serta memperjudikan nasib serta nyawa mana – mana pihak yang berada dalam sesuatu premis atau bangunan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here