Sabtu ini (14 Oktober 2017), Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan perhimpunan yang dinamakan sebagai “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”. Pengerusi Perhimpunan ini ialah Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan berdasarkan kepada perkembangan semasa, perhimpunan ini akan di adakan di Padang Timur, Petaling Jaya. Seperti biasa perhimpunan ini dilaksanakan tanpa matlamat jelas dan rakyat sebenarnya tidak mengetahui apakah objektif yang bakal dicapai melalui perhimpunan seperti ini.

Kebiasaannya perhimpunan pembangkang akan diselangi dengan ucapan berapi-api barisan kepimpinan PH dan kebanyakan isi ucapan pula ialah bahan kitar semula yang sebenarnya sudah diketahui umum, tetapi dibesar-besarkan sebagai satu bahan baru. Perhimpunan ini sebenarnya satu cabang psikologi yang cuba digerakkan pihak pembangkang dengan mempamer sokongan yang diterima rakyat. Jumlah kehadiran rakyat ke perhimpunan ini amat diharapkan, lebih ramai maka dianggap lebih berjaya.

Sektretariat perhimpunan ini telah memilih Padang Timur di Petaling Jaya, Selangor sebagai lokasi perhimpunan dan semalam Ketua Polis Daerah Petaling Jaya telah menyerahkan surat kepada salah seorang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang juga pemilik Padang Timur, menyatakan pihak polis tidak bersetuju untuk perhimpunan berkenaan diadakan di padang itu.

Pihak polis memberikan sebab kukuh terhadap pandangan tidak bersetuju itu dengan menyatakan perhimpunan berkenaan bakal menghalang laluan penumpang dan bas penghubung kepada Stesen LRT Taman Jaya yang terletak tidak jauh dari padang berkenaan. Polis juga menyatakan jalan utama berhampiran padang itu menjadi laluan trafik utama dan kesesakan lalu lintas boleh berlaku jika perhimpunan tetap diteruskan.

Berdasarkan kepada pandangan pihak polis, perhimpunan yang diadakan di lokasi berkenaan akan menyusahkan penduduk sekitar justeru penganjur telah dicadangkan untuk mengubah tempat. Namun begitu, Mohamad dalam satu kenyataan menegaskan perhimpunan berkenaan akan tetap diadakan di Padang Timur kerana sudah tidak mempunyai masa untuk mengubah tempat. Malah beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menganggap polis tidak sewajarnya menyekat perhimpunan itu daripada berlangsung.

Melalui keadaan ini kita jelas dapat melihat bagaimana pembangkang tetap berdegil untuk meneruskan agenda politik mereka, walaupun pihak polis telah memberikan sebab kukuh mengapa Padang Timur tidak sesuai dijadikan lokasi perhimpunan. Jika berlaku sebarang kesulitan, sudah tentu pihak polis yang perlu bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan baik. Sewajarnya pihak pembangkang mengadakan perbincangan teliti dengan pihak polis sebelum memutuskan sebarang lokasi untuk diadakan perhimpunan ini.

Cadangan lokasi daripada pihak polis juga wajar dimohon bagi memastikan pihak berkuasa dan pihak pembangkang dapat menjalankan hasrat masing-masing secara teratur. Pelanggaran secara sengaja ini jelas hanya mengundang masalah dan rakyat di sekitar lokasi penganjuran juga harus menanggung jika berlaku sebarang kejadian tidak digemari termasuk kesesakan lalu lintas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here