UMNO ialah parti bersejarah di Malaysia, parti yang mempunyai perjuangan panjang dalam politik tanah air. Parti ini telah matang dan berkembang secara sejahtera malah telah melalui pelbagai pengalaman yang melihatkannya muncul sebagai parti paling penting dan utama di negara ini. Keutuhan organisasi yang ada pada UMNO kini bukan dilaksanakan dalam satu malam, segala-galanya memerlukan pengorbanan dan kerja kuat. Mekanisme kolektif dalam melaksanakan keputusan telah menjadi teras kepada pembinaan UMNO sebagai parti politik paling kuat bukan sahaja dalam negara tetapi di rantau ini.

Bermula sebagai sebuah parti yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu bagi mencapai kemerdekaan, matlamat UMNO sentiasa dilihat selari dengan peredaran zaman. Malah jika dibincangkan tentang penguasaan parti berteraskan kaum di sesebuah negara, pencapaian UMNO sukar untuk dilupa dan disisihkan. Walaupun sering dianggap sebagai parti khusus kepada orang Melayu, namun UMNO juga yang bertindak sebagai tunjang mengasaskan bentuk gabungan parti politik di Malaysia.

Melalui Perikatan yang kemudiannya berubah wajah dengan penyertaan lebih banyak parti dan kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional (BN), ia jelas menjadi model kepada bentuk gabungan parti politik di Malaysia. Ini satu hal yang jelas tidak boleh dipertikaikan dan UMNO kekal akan mengetuai dengan kukuh gabungan ini. Melalui pentadbiran BN dan kekuatan kepimpinan ditonjolkan UMNO, sukar untuk dilihat pergeseran dalam kalangan pemimpin berlangsung secara terbuka, tetapi segala-galanya diselesaikan secara tertutup melalui saluran betul.

Untuk menuju ke arah Malaysia yang stabil pemilihan UMNO dan BN sebagai parti pemerintah ialah pilihan yang tepat. Ini kerana UMNO dan BN sudah melalui proses pembentukan organisasi yang sesuai dan dilihat tidak lagi berkecamuk dari sudut kepimpinan dan perancangan strategik. Berbeza dengan parti lawan yang masih lagi dilihat mempunyai pertentangan dari sudut ideologi dan pandangan. Malah ada dalam kalangan parti-parti pembangkang ini masih gagal menyelesaikan hal-hal asas sesebuah parti termasuk mengadakan mesyuarat agung dan mematuhi prinsip-prinsip perlembagaan parti sendiri.

Pada 5 Disember ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2017 dan ini dilihat sebagai permulaan kepada perang yang lebih besar tahun depan. Perhimpunan ini ialah kesempatan terbaik untuk pemimpin-pemimpin UMNO melihatkan kesungguhan dan keupayaan masing-masing untuk menerajui UMNO terus berjaya dengan baik dalam pilihan raya umum akan datang. Ucapan-ucapan dalam Perhimpunan kali ini amat penting sebagai meningkatkan moral dan semangat pemimpin di peringkat akar umbi.

Genderang perang kali ini merupakan genderang paling kuat harus dipalu kerana UMNO dan BN bakal berdepan dengan pilihan raya yang dijangka paling sengit dalam sejarah. Semangat dan kekuatan UMNO sebagai parti paling matang dalam negara ini harus dijelmakan dengan sebaik mungkin. Rakyat yang menonton Perhimpunan pada kali ini mahu melihat semangat yang ada untuk mengukuhkan keyakinan bagi memilih UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.

Pentas Perhimpunan ini harus digunakan sebaik mungkin khasnya kepada perwakilan yang mendapat peluang untuk menyampaikan ucapan. Setiap ucapan itu harus diletakkan dengan inti yang mengenyangkan hati dan minda rakyat. Malah rakyat perlu disedarkan secara menyeluruh mengenai kepentingan kestabilan politik yang dibawa UMNO dan bagaimana segala kestabilan itu akan lesap jika rakyat membuat pilihan yang salah dalam pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here