perhimpunan agung umno 2017
KUALA LUMPUR, 3 Dis - Ucapan Pengulungan Perhimpunan Agung UMNO oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Foto : Alif Pudzi/Media UiTM

Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Pada 6 Disember 2017 akan diadakan persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta mesyuarat khas Majlis Tertinggi sementara pada 7 hingga 9 Disember Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan PAU 2017 akan menumpukan kepada persediaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyerlahkan ‘mentaliti kemenangan’ dari setiap perwakilan dalam usaha mendapat mandat kerajaan lebih besar berbanding isu pemilihan parti.

Tiada gunanya jika perwakilan UMNO berbincang mengenai kedudukan atau jawatan tinggi dalam parti jika tidak mendapat mandat besar dalam PRU-14.

Adalah amat penting bagi UMNO untuk menyedarkan rakyat terhadap jasa dan apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini.

Sebagai contoh, Bajet 2018 yang dibentang baru-baru ini, adakah itu feel good factor yang baik bagi menghadapi PRU-14?

Pada tahun ini, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak. Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79), agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul.

UMNO perlu memastikan perhimpunan yang diadakan kali ini bukan sekadar menampakkan feel good factor, inklusif tetapi juga ‘mentaliti kemenangan’ dalam kalangan ahli parti itu.

Apa lagi yang diharapkan pada PAU 2017?

Kini, tiba masanya orang Melayu perlu mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan mempamerkan semangat bersatu hati yang tinggi jika menginginkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini terus kukuh.

Sikap orang Melayu sendiri yang suka berpecah-belah telah menunjukkan contoh tidak baik kepada kaum lain.

Bagaimana hendak bersatu bersama kaum lain kalau orang Melayu berpecah sesama sendiri?

Untuk terus kuat, orang Melayu mesti bersatu mengukuhkan perpaduan bersama kaum lain.

Apa akan jadi jika perpaduan Melayu rapuh? Ianya akan membuka peluang kepada pihak luar menggugat keharmonian negara menerusi penjajahan bentuk baharu.

Apa penyatuan UMNO dan PAS akan diberikan tumpuan dalam PAU 2017?

Perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam serta cabaran politik semasa mendesak kedua-dua parti politik itu lebih positif untuk kepentingan ummah dan negara.

PAU 2017 perlu menggalakkan perpaduan orang Melayu yang kukuh agar perbalahan hebat pada masa lalu sekitar 80-an tidak berulang.

Sejak kebelakangan ini, banyak faktor yang dilihat menyumbang kepada hubungan yang semakin baik antara UMNO dan PAS, dan ini menunjukkan proses ke arah mencapai banyak lagi titik persamaan sedang berlaku.

Adakah hubungan yang dilihat semakin baik antara UMNO dan PAS dijangka akan berterusan demi kepentingan ummah dan negara?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, berkata, hubungan tegang antara UMNO dan PAS yang berlaku suatu ketika dahulu, kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan, kerjasama dengan UMNO adalah lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

Adakah menjadi satu kesalahan untuk UMNO dan PAS bersatu?

Jika mengikut kepada fakta, PAS itu hakikatnya sebahagian dari UMNO sejak asalnya.

PAS dan UMNO terpisah sejurus sebelum pilihan raya umum pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1955.

PAS pernah bersatu bersama UMNO dalam Parti Perikatan dan PAS juga pernah dikeluarkan dari Parti Perikatan di zaman 70-an dahulu.

PAS dahulu bermati-matian menentang DAP tetapi mereka akhirnya bekerjasama dengan DAP sejak 2008.

Jadi, apa yang hendak dibimbangkan jika PAS berbaik-baik dan mesra UMNO di zaman pemerintahan Najib dan Abdul Hadi ini?

Menjadi ancaman besarkah jika orang Melayu yang beragama Islam menguasai pentas politik Malaysia?

Ingatlah bahawa Islam itu menganjurkan perpaduan dan kerjasama di antara umatnya.

Islam juga menggariskan supaya berkasih sayang sesama saudara seagama dan bertindak tegas serta adil kepada mereka yang bukan Islam yang tidak menzalimi hak muslim.

Jadi, tidak salah jika UMNO dan PAS ingin bersatu dan tentunya tidak membawa kemudaratan kerana perkara itu sememangnya dituntut Islam sejak sekian lama.

Sudah sampai masanya PAU 2017 memberikan tumpuan kepada aspek penyatuan orang Melayu.

Orang Melayu akan terus menjadi kaum yang kuat dan dihormati jika kita bersatu. Jika begitu hebat kesan penyatuan orang Melayu, mengapa ada pihak yang masih hendak menolaknya?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here