pru14

“Kita sedang disajikan ‘wayang’ pakatan pembangkang khususnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang ditayangkan sebagai tontonan kepada orang ramai ketika PRU14 semakin dekat,” kata EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Katanya, pergelutan dalam PKR yang dikatakan antara kumpulan Azmin dan kumpulan Rafizi hari ini diibaratkan cubaan mereka untuk mengubah fokus rakyat di sebalik kejayaan Sukan Sea 2017 dan dalam masa yang sama untuk menarik perhatian menjelang ambang kemerdekaan ke-60 tahun, dua hari lagi.

“Hari ini PKR sedang tayangkan lakonan mereka dengan kategori ‘U’ iaitu umum, oleh itu kita perlu bersedia dengan pop corn, kopi atau pun biskut kerana ‘wayang’ yang akan kita saksikan ini boleh diibaratkan ‘pecah panggung’,” sindir beliau.

Kata beliau, pengakuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa PKR mengalami krisis perpecahan kepada dua kumpulan ekoran perbezaan pendapat selain dilihat tidak senada dengan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu adalah satu sandiwara dalam pakatan pembangkang.

“Hari ini mereka bantai sesama sendiri, pecat sesama sendiri, fitnah sesama sendiri dan gaya parti nak berpecah dua kerana tak sependapat yang meletakkan mereka diambang keretakan.,

“Kemudian nanti, ada pula kenyataan pemimpin atau akar umbi mereka kononnya mendesak untuk buat rundingan, yang pasti kesudahan ‘wayang’ mereka ini akan ada hero muncul menyelamatkan parti mereka.

“Buat mesyuarat kononnya cari jalan penyelesaian, habis mesyuarat buat sidang akhbar, bersandiwara lagi kononnya segala permasalahan sudah diselesaikan dengan baik dalam rundingan dan pentaksub mereka akan lahirkan kekaguman mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka ini, sedangkan itu semua adalah ‘wayang’ yang berulang-ulang kali ditayangkan kepada rakyat.”

Lebih teruk lagi, bidas beliau apabila ada pula pihak lain yang dipersalahkan kononnya sebagai dalang dalam perpecahan antara mereka.

“Kalau nak sedapkan lagi cerita, mereka akan tuduh ini kemelut dalaman yang mereka hadapi sebagai konspirasi jahat UMNO untuk menumbangkan persefahaman dalam pakatan pembangkang khususnya PKR,” tambahnya yang juga Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M).

Semalam, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran turut dipecat daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta yang dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here