KERJASAMA antara kesemua parti komponen Pakatan Harapan (PH) nampaknya semakin teruji menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14. Setelah kekecohan dan kekalutan yang timbul pada Konvensyen PH Negeri Sembilan di Seremban mengenai pembahagian kerusi sesama mereka baru-baru ini, pakatan pembangkang terbesar negara itu kembali memperlihatkan keretakan dan kerapuhan kerjasama politik mereka. Ia masih berkisarkan isu yang sama, cuma kali ini ia berlaku di Selangor pula.

Dalam perkembangan terbaharu, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim telah menggelar Pengerusi PH Selangor merangkap menteri besar negeri itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai badut lantaran kenyataan yang dikeluarkan Azmin mengenai isu pembahagian kerusi antara kesemua parti komponen PH di Selangor.

Ketika ditanya mengenai rundingan kerusi antara parti-parti bersekutu PH, Azmin sebelum ini mendedahkan bahawa mesyuarat berkaitan telah pun diadakan sebanyak empat kali di mana 80 peratus kerusi DUN di Selangor sudah pun diagihkan antara kesemua komponen tersebut. Izham walau bagaimanapun menolak kenyataan Azmin, mendakwa bahawa mesyuarat yang diadakan selama ini hanyalah mesyuarat jawatankuasa pilihan raya bagi membincangkan strategi PRU, bukannya mengenai pembahagian kerusi.

Izham turut menyatakan bahawa permintaan AMANAH untuk PH menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai pembahagian kerusi juga tidak dilayan oleh Azmin. Kenyatan beliau yang antara lain menempelak Azmin sebagai tidak layak menjadi menteri besar nampaknya turut disokong oleh parti komponen yang lain. Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata beliau tidak tahu menahu mengenai 80 peratus kerusi DUN yang dikatakan telah pun diagihkan seperti yang didakwa Azmin. Pua menambah bahawa partinya hanya menghadiri empat mesyuarat jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan ADUN Sri Andalas Dr. Xavier Jeyakumar, yang tidak pun melakukan sebarang rundingan mengenai pembahagian kerusi.

Kenyataan Izham yang dilihat terlalu vokal dan ‘melampau’ ini akhirnya dibidas oleh beberapa pemimpin PKR negeri. Malah Xavier sendiri mengecam Izham dan AMANAH kerana membincangkan isu tersebut secara terbuka sehingga mencetuskan kekecohan. Sementara itu, Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin pula menasihatkan Izham agar jangan bertindak kurang ajar dalam merendah-rendahkan Azmin selain meminta Pengerusi AMANAH Selangor tersebut merujuk dahulu kepada kepimpinan AMANAH Pusat sebelum membawa isu tersebut kepada media.

Keributan terbaharu mengenai isu pembahagian kerusi antara kesemua komponen PH di Selangor sememangnya sudah boleh dijangka melihatkan kekecohan yang timbul di Seremban hujung minggu lalu. Jika minggu lalu keributan itu disebabkan PPBM, keriuhan mengenai isu sama minggu ini nampaknya berpunca pula daripada sebuah lagi parti komponen baharu pembangkang, AMANAH.

Ianya agak ironi untuk melihat bagaimana isu dalaman PH ini akhirnya dibawa ke media tatkala kebanyakan pemimpin pembangkang yang ada pada hari ini sudah bersama-sama dalam ‘perjuangan’ politik mereka sejak berdekad lamanya. Seolah-olahnya mereka masih tiada keserasian. AMANAH misalnya, walaupun masih belum berpengalaman dalam mana-mana PRU, tetapi pimpinannya merupakan ahli politik veteran yang sepatutnya lebih memahami apakah cara yang paling baik dalam menguruskan krisis antara parti.

Apabila Izham sendiri sudah ‘berani’ menggelar Azmin sebagai badut, maka ia jelas memburukkan lagi keretakan antara kesemua komponen PH di negeri Selangor. Malah, dengan menyifatkan Azmin sendiri sebagai tidak layak menjadi menteri besar sudah cukup menggambarkan tiadanya rasa hormat AMANAH terhadap kepimpinan Timbalan Presiden PKR itu. Sudah tentutlah, dengan penghinaan seperti itu, pemimpin-pemimpin PKR negeri terus bangkit mempertahankan ketua mereka.

Tindakan Izham dalam hal ini yang menyuarakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka jelas membuktikan bahawa AMANAH masih belum benar-benar matang dalam membentuk kesepakatan yang padu bersama kesemua komponen lain dalam PH, terutamanya PKR dan DAP. Maka tidak hairanlah mengapa AMANAH adalah ‘buangan’ PAS, parti Islam tertua negara yang kini mengorak langkah dengan pendekatan politik baharu – Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Daripada satu perspektif yang lain, keributan terbaharu ini menimbulkan persoalan serius mengenai wibawa Azmin selaku menteri besar dan Pengerusi PH di Selangor. Pemilihan bahasa yang digunakan Izham dalam menggambarkan Azmin sebagai badut jelas membuktikan bahawa AMANAH tidak mempunyai kepercayaan terhadap Azmin sebagai seorang ketua kerajaan negeri dan pakatan politik itu di Selangor. Apabila hal sebegini pun gagal diurus dengan baik, ia memperlihatkan kepimpinan seorang individu yang tidak cekap. Tidak mustahil jika PH berjaya mengekalkan penguasaan mereka di Selangor sekalipun pasca PRU kelak, AMANAH mungkin mempunyai idea lain mengenai siapakah yang selayaknya mengetuai pentadbiran negeri itu kelak.

Dalam hal ini, Azmin nampaknya tidak memiliki aura dan faktor penyatu dalam kalangan kesemua komponen PH di negeri terkaya itu. Malah, kepimpinannya turut tidak dihormati oleh sekutu PKR sendiri. Disebalik keyakinan beliau untuk mempertahankan Selangor, mungkin Azmin sendiri kini menyedari kepimpinannya tidak begitu berpengaruh seperti kepimpinan bekas menteri besar sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Maka tidak hairanlah beliau sedang menimbang kemungkinan untuk ‘lari’ dari kawasannya, Gombak, pada PRU kelak demi mencari kawasan yang lebih selamat.

Akhirnya, dengan pelbagai episod kekalutan dan kekecohan yang ‘ditayangkan’ oleh PH di beberapa negeri, rakyat boleh melihat betapa kucar-kacir dan tidak menentunya masa depan mereka di tangan pakatan itu kelak sekiranya mereka termakan dengan umpan PH. Aneh sekali untuk melihat keserabutan yang menimpa pakatan ini berlaku di negeri-negeri yang dilihat PH mampu memberikan lebih penguasaan kepada pakatan mereka. Ianya seolah-olah memberikan gambaran bahawa mereka tidak lagi begitu peduli mengenai pengorbanan yang perlu dibuat bagi menumbangkan BN, sebaliknya mereka tampak lebih cenderung untuk memikirkan apakah bentuk kuasa yang bakal dinikmati oleh parti masing-masing apabila berkuasa nanti.

Maka selayaknya rakyat membuat pilihan yang lebih bijak pada PRU yang bakal menjengah tidak lama lagi. Kerajaan yang stabil adalah kerajaan yang disokong kuat oleh parti-parti komponen yang ada. Begitulah juga dengan kepimpinan seorang menteri besar. Ia perlu didokong dengan baik oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti komponen yang ada di sekelilingnya. Malangnya dua perkara itu tidak pula kita lihat wujud di Selangor terutamanya setelah AMANAH dan PPBM mula muncul. Jika PH yang dalam keadaan seperti ini dibiarkan terus berkuasa di negeri itu, apakah pula bentuk kekalutan yang mahu disaksikan oleh rakyat Selangor kelak?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here