Penyelidikan Malaysia terbaik dalam melibatkan bidang kejuruteraan, alam sekitar, tenaga dan kewangan Islam.

Pencapaian itu berdasarkan hasil kajian dilakukan Clarivate Analytics di mana Malaysia berada di ranking kedua dunia dengan perkembangan penyelidikan 7.2 peratus berbanding purata dunia 1.1 peratus sejak 2012 hingga 2016.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hasil kajian itu menunjukkan penyelidik negara amat produktif dan diiktiraf badan penyelidikan dunia.

“Malaysia kini memiliki universiti penyelidik terbaik malah hari ini kita lihat ramai penyelidik dari negara kita bergabung bersama syarikat-syarikat bagi menghasilkan dan mengkomersialkan ciptaan yang berinovasi.

“Selama ini Malaysia dikenali sebagai hab pendidikan, tetapi kini kita bukan sahaja jadi hab, kita juga boleh jadi pusat pembelajaran. Kita juga boleh bangunkan tamadun dengan kepakaran yang ada yang hanya ada di negara ini tidak di negara lain,” katanya.

Beliau bekata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2017) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, pagi tadi.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

PECIPTA 2017 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama UMT dan UniSZA.

Ia disertai seramai 461 peserta terdiri 20 (IPTA), 17 (IPTS), tujuh (Politeknik), dua Kolej Komuniti dan tujuh wakil dari universiti antarabangsa termasuk China, Indonesia, Thailand, United Kingdom (UK), Belgium dan Taiwan.

Menurut Idris, PECIPTA 2017 adalah platform terbaik yang mampu membuka minda pelajar khususnya bagi meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Metematik (STEM).

“Pelajar boleh lihat semua penyelidikan baharu yang mana boleh beri kebaikan kepada STEM sekali gus menarik minat mereka untuk mendalami bidang itu,” katanya.

Seramai 460 penyelidik dan 441 syarikat terlibat dalam pameran itu bagi merebut juara dalam hasil ciptaan berinovasi, pertandingan bermula hari ini (semalam) sehingga 9 Oktober depan.

Selain pameran produk, pelbagai aktiviti turut diadakan di perkarangan stadium antaranya Bicara Ikon, pertandingan robotik, Festival Sains anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), dan perpustakaan negeri, jualan kenderaan saji (food truck), pelbagai pameran dan demo saintifik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here