ISU pengiktirafan Baitulmaqdis oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai ibu negara Israel nampaknya akan terus mendominasi perdebatan dan perbincangan dalam kalangan rakyat khususnya umat Islam. Malah, rata-rata masjid dan surau di seluruh negara juga masih lagi memberi penekanan kepada perkara tersebut dalam khutbah Jumaat, ceramah dan pelbagai program yang dianjurkan mereka sepanjang minggu ini.

Dalam kemarahan umat Islam terhadap AS dan Israel, setidak-tidaknya kontroversi terbaru yang dicetuskan Presiden Donald Trump itu membawa satu hikmah yang lain – bahawa isu tersebut kini telah memusatkan seluruh perhatian umat Islam di negara ini terhadap ketegangan Palestin-Israel sehingga mendorong sebahagian daripada mereka untuk keluar dan menyatakan bantahan secara besar-besaran di hadapan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur.

Protes Dan Bantahan Pakatan Harapan (PH)

Semalam umpamanya, satu lagi bantahan di hadapan kedutaan negara kuasa besar tersebut telah dianjurkan oleh PH sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan solat fardhu Jumaat. Antara yang hadir termasuklah pimpinan utama pakatan tersebut iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Lebih 500 penyokong PH dan beberapa NGO mula berarak dari depan Bangunan Tabung Haji hingga ke kedutaan AS sambil melaungkan pelbagai slogan pro-Palestin dan anti-Israel.

Himpunan dan bantahan ini hadir hanya seminggu setelah protes yang dianjurkan UMNO dan PAS di tempat dan waktu yang sama. Jumlah peserta yang hadir pada bantahan PH semalam memang dilihat kecil jika hendak dibandingkan dengan jumlah orang awam yang turun pada himpunan dan bantahan minggu lalu. Bantahan PH yang agak lewat semalam iaitu setelah lebih seminggu isu itu meledak mungkin antara faktor yang mempengaruhi keadaan itu.

Walau bagaimanapun, jumlah yang hadir pada himpunan semalam bukanlah penting untuk dibincangkan. Membandingkan kedua-dua himpunan tersebut juga tidak ada gunanya. Apa yang pasti, kedua-dua himpunan dan bantahan itu membawa satu kerisauan baru dalam masyarakat Melayu; perpecahan mereka yang semakin kronik. Tatkala isu Palestin sepatutnya menyatukan kesemua orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, nampaknya pemimpin-pemimpin politik mereka memilih untuk terus berpecah dengan memilih untuk berhimpun dan membantah melalui platform politik masing-masing.

Minggu depan, kita akan menyaksikan satu lagi himpunan pro-Palestin di mana UMNO dan PAS akan berkongsi pentas bagi membicarakan isu Baitulmaqdis. Himpunan yang berbentuk lebih formal ini dijangka akan dihadiri YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak selain Presiden PAS YB Datuk Seri Hj. Abdul Hadi Awang. Pelbagai NGO lain juga akan turut menyertai himpunan tersebut. Ini bukanlah kali pertama kedua-dua figura politik ini berkongsi pentas. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita melihat Najib dan Hadi sama-sama menyampaikan ucapan dalam himpunan graduan Universiti Al-Azhar selain UMNO dan PAS sendiri turut berpadu tenaga menyuarakan keprihatinan mereka dalam isu Rohingya di Myanmar pada tahun lalu. Tidak dapat tidak, ianya memberikan bayangan dan manifestasi bahawa hubungan UMNO-PAS kini meniti jalan yang lebih baik.

Penyatuan Dibatasi Sempadan Politik

Ketika kita merasakan inilah masanya untuk orang Melayu bersatu atas dasar Islam, rupa-rupanya sangkaan kita salah dan meleset sama sekali. Jelas sekali bahawa orang Melayu terus “keras kepala” dan begitu sukar bersatu hati walaupun dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama. Maka tidak hairanlah jika kita melihat adanya masjid dan surau di beberapa tempat di negara ini yang mengalami krisis perpecahan jemaah. Perbalahan politik antara ahli qaryah sehingga timbulnya isu dua imam bukan lagi isu baharu. Aneh sekali orang Melayu semacam ini. Dalam masjid dan surau pun masih lagi hendak dibawa “bendera politik” masing-masing, walhal mereka akhirnya tetap akan tunduk dan sujud pada Tuhan yang sama.

Solidariti Muslim Sebagai Bahan Tawa Musuh

Orang kita memang terkenal dengan sikap yang hebat dalam mengecam dan mengkritik musuh-musuh Islam terutamanya Israel. Bahkan Malaysia dikenali sebagai negara yang biarpun kecil, tetapi terus lantang dan keras menentang sikap kebinatangan Zionis. Tetapi sejauh mana pula penentangan tersebut mendatangkan rasa gentar dan takut dalam diri musuh yang satu itu? Seruan boikot ke atas mana-mana pihak yang menyokong negara haram itu telah pun lama dilaungkan, tetapi hakikatnya berapa ramai pula orang Melayu Islam yang betul-betul konsisten dan berprinsip dalam menyambut seruan tersebut?

Dengan ketegangan terbaru yang dicetuskan Trump, apakah seruan boikot yang serupa kali ini akan betul-betul berhasil? Apakah orang Islam benar-benar dapat menahan nafsu mereka daripada membeli dan menggunakan produk-produk yang berkaitan walaupun setelah isu ini reda kelak? Sejarah tidak menunjukkan begitu kerana sesetengah orang Melayu ini semangatnya hanya hangat-hangat tahi ayam. Sembang berdegar-degar, akhirnya cair juga. Itulah situasinya yang kita lihat saban tahun setiap kali konflik dan krisis Palestin-Israel kembali memuncak. Apa pun, kita tetap menaruh harapan dan mengharapkan agar isu terbaru berkaitan Baitulmaqdis menjadi pemangkin terbaik dalam mengubah sikap umat Islam dalam hal ini.

Sampai Bila Hendak Berpecah?

Melihat kepada dua himpunan berasingan antara UMNO-PAS dengan PH dalam isu Baitulmaqdis, sedikit sebanyak ianya memberitahu kita bahawa politik kebencian nampaknya terus menjadi faktor yang memecahbelahkan kesatuan orang Melayu dan Islam walaupun dalam keadaan mereka memperjuangkan isu yang sama. Apalah salahnya jika kesemua parti politik ini bergabung tenaga menyatakan bantahan dalam satu himpunan sahaja? Bukankah itu tentunya akan menghantar mesej yang lebih tegas dan keras kepada AS?

Isu berkaitan Baitulmaqdis ini dipercayai akan terus berpanjangan, lebih-lebih lagi AS kini tidak lagi diiktiraf Palestin sebagai negara pendamai yang sah dalam konflik Palestin-Israel. Atas faktor itu, AS pasti akan “merangkak” mencari semula legitimasinya yang barangkali sudahpun hilang, dan dalam proses itu ia akan kembali berusaha meyakinkan negara-negara Islam lainnya khususnya di Timur Tengah bahawa ia masih mampu berfungsi dengan “adil” sebagai orang tengah dalam krisis tersebut. Bagi orang Melayu pula, masih belum terlambat buat mereka untuk menyatakan dan memperlihatkan kesatuan suara mengecam dan menentang AS dalam hal ini.

Berbeza pandangan dalam isu politik, itu tidak salah. Yang salahnya adalah apabila kita sengaja memilih untuk berpecah apabila peluang untuk bersatu sudah terhidang di depan mata, lebih-lebih lagi dalam isu kepentingan umat. Kalau sudah begitu keadaannya, harapan untuk melihat orang Melayu dan Islam bersatu tampak tidak akan kesampaian untuk satu tempoh yang panjang. Janganlah ketika orang lain sibuk memperkatakan isu Palestin, kita masih lagi sibuk dengan isu keturunan seperti Bugis, mamak, lanun dan beberapa isu kenegerian yang lain yang tidak langsung memberi untung. Ia hanya merugikan. Alangkah baiknya dalam berbeza politik, kita tetap cuba mencari ruang dan jalan untuk bersatu dalam isu dan kepentingan bersama. Semua itu akhirnya untuk kita juga!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here