DI SEBALIK kelembapan ekonomi dunia, Malaysia masih mampu memperkukuhkan dan menjadikan ekonomi negara pesat membangun.

Ini adalah hakikat sebenar, bukan sekadar cakap-cakap untuk menyedapkan halwa telinga mendengarnya.

Ketika tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya, Malaysia menerima kad laporan yang memberangsangkan daripada entiti antarabangsa seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan agensi penarafan Moody’s Investors Service.

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun ini, iaitu pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak 2014.

Pada 2018 pula, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur sederhana pada 5.2 peratus, demikian menurut Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) yang dikeluarkan Bank Dunia 14 Disember 2017.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan antara 5.0 hingga 5.5 peratus tahun hadapan dan inflasi meningkat dengan kadar lebih perlahan.

Menurut IMF, sementara kitaran peningkatan akan kembali normal, momentum aktiviti dijangka kekal kukuh pada tempoh enam bulan tahun depan, disokong oleh permintaan domestik dan pengukuhan dalam dagangan global.

IMF mengeluarkan laporan itu berikutan kesimpulan daripada lawatan ke Malaysia pada 28 November hingga 8 Disember lalu.

Kumpulan itu diketuai Nada Choueiri dan mereka mengadakan lawatan di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi perbincangan Rundingan Article IV 2018 bersama Malaysia.

Kumpulan itu bertukar pandangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan Bank Negara (BNM) serta turut bertemu dengan wakil daripada sektor swasta.

Moody’s pula terus mengekalkan profil kredit Malaysia yang stabil, sekali gus mencerminkan usaha berhemah kerajaan untuk menguruskan kedudukan hutangnya.

Agensi penarafan antarabangsa itu mengukuhkan penarafan bon kerajaan Malaysia, pada A3 sambil mengekalkan tinjauan stabil dalam penilaian terbaharunya terhadap kedudukan kredit negara ini.

Moody’s menerusi penilaiannya berkata, tinjauan stabil diberikan kerana Malaysia mampu mengimbangi kekangan kredit jangka panjang iaitu beban hutang tinggi dan pendedahan terhadap risiko luaran dengan kekukuhan yang ada dalam kredit, termasuk pertumbuhan ekonomi berdaya saing.

Malaysia juga memiliki beberapa institusi domestik besar yang menyediakan persekitaran kewangan stabil untuk hutang kerajaan.

Di dalam penilaian terbaharunya, Moody’s menjelaskan hutang kerajaan akan kekal tinggi, namun secara umum adalah stabil.

Apa makna semua ini? Apa pentingnya negara memiliki rekod prestasi ekonomi yang baik?

Adakah kerajaan hanya sekadar syok sendiri dan penarafan yang diterima itu langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat?

Tidak dinafikan, penilaian dan penarafan antarabangsa seperti yang dipaparkan di atas adalah sangat penting untuk negara.

Ini kerana pelabur asing akan meneliti angka-angka tersebut sebelum memutuskan untuk membuat sesuatu pelaburan dan berapa nilai hendak dilaburkan.

Apa yang diperkata oleh pakar ekonomi?

Pencapaian ekonomi negara telah benar-benar menepati matlamat Bajet 2018 dengan pelbagai inisiatif diperluaskan yang bertujuan memberi lebih banyak aliran tunai ke tangan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.

Langkah seperti pemotongan cukai pendapatan, pelbagai pemberian tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penambahan keseluruhan emolumen sektor awam akan menyokong usaha pemulihan sentimen pengguna yang telah dilihat sepanjang tahun ini.

Tahun 2018 dikategorikan sebagai titik pemulihan ekonomi negara, seiring dengan berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bersama dengan momentum pertumbuhan ekonomi yang positif sekarang, inisiatif dalam Bajet 2018 menjadi nadi kepada pemulihan sentimen pengguna.

Namun, adakah kerajaan mengambil serius rungutan dan keluhan rakyat terhadap kenaikan harga barang dan perkhidmatan ketika ini?

Ini kerana permasalahan itu adalah sesuatu yang nyata dan benar-benar menghimpit kehidupan mereka.

Rakyat secara keseluruhannya ketika kini cukup terkesan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Walaupun BR1M mampu membantu meringan beban rakyat, namun ia tidak akan dapat mengekang kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tidak dinafikan BR1M membantu meringankan beban rakyat namun ia juga menjadi alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barang.

Jangan hanya gah di sebalik penarafan tetapi rakyat terus dihimpit dan dibebani dengan isu kos sara hidup dan kebaikan harga barang.

Itu belum menampakkan kejayaan kerajaan dalam membela nasib dan kebajikan rakyat.

Kerajaan akan berjaya disebalik penarafan diterima jika rakyat tidak terkesan dengan isu kos sara hidup dan harga barang yang meningkat.

Kerajaan perlu membuktikannya. Itu baharu kejayaan sebenar kerajaan. Rakyat pasti bangga bila negara berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here