unisel

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kecewa setelah mendapat tahu pentadbiran Selangor yang pernah diterajuinya mempertimbangkan penyambungan kontrak Jana Niaga Sdn Bhd (Jana Niaga) kerana beliau berteguh bahawa UNISEL dan/atau Selangor tidak dapat menerima tuntutan-tuntutan JNSB termasuk tawaran untuk mengambilalih hutang bank Jana Niaga.

Pada 22 Ogos lalu, SPRM menyerbu Unisel, Jana Niaga dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berhubung pertikaian Unisel dan Jana Niaga.

Jana Niaga merupakan syarikat yang memegang kontrak-kontrak untuk membina, menjalankan operasi, menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan Unisel.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, pada 2013 kontrak-kontrak dengan Jana Niaga ditamatkan akibat kemungkiran Jana Niaga namun syarikat itu mempertikaikan penamatan kontrak-kontrak tersebut.

“Adalah penting untuk diketahui bahawa sekitar Mac 2014, selepas Mahkamah rayuan menolak rayuan Jana Niaga ke atas kes penamatan kontrak syarikat itu oleh Unisel, Jana Niaga telah membawa pertikaian kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian (Dispute Resolution Committee) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor,” katanya.

Khalid yang terkejut membaca laporan media tentang siasatan SPRM ke atas Unisel menyatakan kesediaannya untuk beri kerjasama bagi membantu siasatan.

“Perkara ini telah sedikit sebanyak mencemarkan nama baik institusi-institusi kerajaan Selangor dan saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM jika perlu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pada hari serbuan ke atas Unisel dilakukan oleh SPRM, aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilapor menyerahkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan isu bayaran kontrak Universiti Selangor (Unisel).

Bekas pemimpin PKR yang dipecat itu berkata dokumen tersebut merangkumi perjanjian Unisel dan Jana Niaga, surat-menyurat antara kedua-dua pihak, invois bayaran dan dokumen perundangan. -MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here