Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin telah memulakan penjelajahan berski menuju ke titik 90 darjah Kutub Selatan awal semalam.

Pengarah Media dan Publisiti Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Hazran Mohamed berkata, cuaca baik di Kutub Selatan membolehkan Qobin menaiki pesawat twin otter dalam penerbangan selama lima jam dan selamat sampai di titik 89 darjah pada jam 3 petang waktu tempatan atau jam 2 pagi waktu Malaysia.

Menurutnya, perkembangan tersebut dimaklumkan penjelajah berusia 36 tahun itu menerusi panggilan telefon satelit kepada urus setia Projek Negara-Malaysia Explorers Grand Slam 2017.

“Sebaik mendarat di titik 89 darjah, Qobin mula berski pada jam 9 malam waktu tempatan sejauh 6.5 kilometer dan sekarang sedang berkhemah dan berehat.

“Qobin dijangka menamatkan penjelajahan skinya sejauh 111 km pada 27 atau 28 Dis ini bergantung kepada keadaan cuaca. Suhu di Kutub Selatan ketika ini berada pada paras -26 darjah Celsius dan tidak berangin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hazran, Qobin dalam misi menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar ‘Penjelajah Grand Slam’ iaitu individu yang berjaya mendaki puncak Everest, berski di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

“Beliau juga bakal menjadi individu kedua dari rantau Asia Tenggara dan orang Islam ketiga dan termuda mendapat pengiktirafan itu jika berjaya menamatkan ekspedisi di Kutub Selatan ini,” katanya.

Qobin sebelum ini, berjaya mendaki tujuh puncak gunung di tujuh benua pada 2010 dan berski di Kutub Utara pada April lalu.

“Setakat ini, hanya  kira-kira 70 orang sahaja di dunia yang berjaya melaksanakan ketiga-tiga misi tersebut.

“Turut sama melakukan penjelajahan di Kutub Selatan ialah dua penjelajah dari United Kingdom dan masing-masing seorang dari Afrika Selatan, India dan Ireland serta diiringi seorang pemandu arah,” katanya.

Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here