Satu tinjauan dan kajian politik terbaru oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mendapati Barisan Nasional (BN) berdepan kesukaran untuk mengekalkan penguasaan sebagai sebuah kerajaan pusat yang kukuh pada pilihan raya umum akan datang. Keadaan ini disebabkan oleh bilangan kerusi selamat BN diramalkan masih belum cukup untuk mencapai kemenangan selesa seperti yang diharapkan. Menurut kajian berkenaan, bilangan kerusi Parlimen yang benar-benar mampu dimenangi BN pada pilihan raya umum akan datang hanya 100 kerusi berbanding jumlah kerusi Parlimen keseluruhan sebanyak 222.

Selain itu, kajian berkenaan juga mendapati UMNO hanya memiliki 57 daripada 165 kerusi Parlimen pasti menang di Semenanjung. Lebih memeritkan kajian berkenaan turut melihat sokongan bukan melayu terhadap BN akan kekal rendah seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum terdahulu. Pihak pembangkang diramal akan menerima sokongan kuat bukan Melayu dengan 48 kerusi di Semenanjung yang majoritinya ialah bukan Melayu bakal menjadi milik pembangkang.

Kajian itu turut mendapati BN bakal berdepan masalah dalam mengukuhkan kedudukan di kerusi-kerusi yang dianggap deposit tetap khasnya di Sabah dan Sarawak. Daripada 57 kerusi Parlimen di kedua-dua negeri ini, kini hanya 43 boleh dianggap selamat untuk BN.

Berdasarkan kepada apa yang dipaparkan dalam kajian ini, jelas BN berdepan masalah dan kesukaran yang berbeza untuk pilihan raya umum pada kali ini. Walaupun ramai yang memandang remeh kajian seperti ini dan ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk persepsi semata-mata, namun dalam politik persepsi itu mampu menjadi asas terbaik dalam membina realiti. Persepsi yang dilaung-laungkan selalu akan lama-kelamaan diterima sebagai satu kebenaran yang nyata.

Jelas sekali untuk berdepan dengan pilihan raya umum pada kali ini BN tidak lagi wajar bergantung kepada strategi selalu dan yang sering digunakan. Strategi baru dengan pemikiran lebih segar wajar dijelmakan BN untuk menarik lebih sokongan dan membuktikannya sebagai terus relevan untuk perjalanan masa depan Malaysia.Satu perkara terpenting yang perlu dilakukan BN ialah meningkatkan jumlah calon muda untuk bertanding di kerusi-kerusi terlibat. Ini amat penting sebagai satu isyarat BN sudah bersedia untuk melaksanakan pembaharuan dalam budaya politik.

Memperkenal calon baru dan muda bukan sahaja mampu memberikan harapan baru, tetapi menyegarkan kembali kepercayaan umum di samping meraih kembali populariti dan persepsi yang telah tertinggal. Calon muda dan baru akan membuatkan pengundi kembali melihat keperluan dan memandang kemampuan terhadap calon baru. Calon muda dengan profil akademik dan keupayaan untuk dekat dengan masyarakat merupakan bonus yang harus dicari BN.

Selain itu, parti-parti komponen dalam BN tidak sewajarnya bercakaran sesama sendiri untuk merebut kerusi atau bertelagah soal calon kerana ini hanya akan memburukkan keadaan dan meletakkan pandangan serong rakyat terhadap BN. Misalnya perseteruan yang berlaku di antara MIC dan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) mengenai siapa yang layak bertanding di Cameron Highland wajar dihentikan. Sebarang hal dalaman komponen tidak wajar dijelmakan sebagai masalah di luar. Segala pertikaian harus diselesaikan melalui saluran betul.

Manifesto yang ditampilkan pada kali ini juga harus benar-benar bersifat rakyat dan dilihat sebagai satu janji yang terbaik dan boleh ditepati. Manifesto ini wajar menangani isu-isu taraf hidup rakyat termasuk kos hidup, harga barangan, tingkat pendapatan dan bentuk-bentuk bantuan menyeluruh yang diharapkan. Manifesto yang dirangka nanti tidak harus diberi gambaran sebagai gula-gula, tetapi harus menjadi dokumen penting untuk membantu mengatasi setiap masalah yang dihadapi rakyat.

Walaupun BN semakin sukar untuk mendapatkan undi dalam kalangan bukan Melayu, tidak bermakna kelompok ini harus dilupakan. Parti-parti komponen bukan Melayu seperti MCA dan MIC wajar memainkan peranan secara aktif dan bukan lagi menggunakan pendekatan lama dalam memahami hal dan isu yang dibangkitkan rakyat. Pilihan raya ini merupakan pilihan raya terpenting dan setiap parti komponen dalam BN mempunyai peranan untuk menambah bilangan kerusi masing-masing.

Selain itu, UMNO juga harus memastikan tidak kehilangan kerusi dan berkeupayaan untuk merampas kembali kerusi-kerusi milik pembangkang kini. Pengukuhan UMNO amat penting sebagai kunci kejayaan kepada BN. Jika dalam pilihan raya umum terdahulu MCA dan MIC tidak berjaya menunjukkan prestasi yang baik, tetapi UMNO berjaya meraih kembali sokongan kaum Melayu dan melalui hal ini jelas bagaimana UMNO harus berperanan sebagai punca kemenangan kerana sokongan kaum bukan Melayu dilihat sukar untuk beralih kepada MCA atau MIC dan pengukuhan UMNO ini penting bagi memastikan BN terus menguasai pentas politik Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here