Jaring keselamatan yang dipasang untuk melindungi penduduk dan orang ramai di aras bawah Projek Perumahan Rakyat PPR Sri Pantai nampaknya dipenuhi sampah sarap yang dicampak penghuni, lapor Astro Awani.

Di PPR inilah seorang remaja Tingkatan 3, S Sathiwaran maut dihadapan ibunya apabila sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari atas terkena kepalanya dan mengakibatkan kecederaan parah pada 15 Januari lalu.

Kunjungan Astro Awani ke lokasi kejadian baru-baru ini mendapati sampah seperti paket plastik dan tisu mengotori jaring keselamatan yang dipasang sejak 2 minggu lalu.

“Memang bagus jaring ini dipasang. Lebih selamat, tetapi ada lagi orang yang buang sampah, jadi barang-barang seperti tisu bila tersekat di jaring, nampak tidak elok,” kata seorang penduduk, Isa Yatim.

Menurut laporan itu lagi, beliau menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur penyelesaian lain untuk dipertimbangkan seperti menggantikan jaring keselamatan itu dengan lapisan konkrit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai Tusiah Sino berkata pemasangan jaring keselamatan itu fasa pertama daripada langkah keselamatan yang sedang diambil.

“Ada lagi yang tidak siap…Saya berharap agar penduduk selepas ini tidak lagi membuang sampah dari atas dan janganlah gunakan jaring ini sebagai tempat untuk membuang sampah,” katanya.

Dalam tragedi itu, seorang penduduk yang berada di tempat kejadian memberitahu media bahawa dia terdengar bunyi dentuman yang kuat, diikuti bunyi jeritan dan keriuhan orang ramai. “Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum dapat mengenal pasti suspek.

“Kita telah mengambil lebih 31 sampel ujian DNA. Kita masih belum mendapat laporan daripada pihak jabatan kimia, jadi tidak boleh ulas panjang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here