Bermula 10 September lalu melalui saluran 550 pengguna HyppTV kini boleh menikmati saluran DreamWorks secara percuma selama dua bulan.

Saluran yang dibawa khas oleh HBO Asia itu adalah yang terbaru di Malaysia sesuai ditonton kanak-kanak dan seisi keluarga.

Susulan kejayaan pelancarannya yang diadakan di Thailand bulan lalu, Malaysia menjadi negara kedua di Asia yang menerima saluran berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM Jeremy Kung berkata, pihaknya amat teruja membawakan DreamWorks kepada pelanggan apabila saluran ini belum pernah ditayangkan di Malaysia.

“DreamWorks menawarkan siri animasi bertaraf antarabangsa yang segar buat pelanggan HyppTV yang bukan saja boleh dinikmati kanak-kanak malah turut menjadi hiburan untuk seisi keluarga.

“Justeru memberikan pelanggan pengalaman tontonan sekeluarga terbaik adalah yang kami harapkan.

“Di HyppTV, kami akan terus membawakan penonton di Malaysia dengan kandungan menarik, unik dan bertaraf antarabangsa bagi memenuhi kehendak pelanggan kami,” katanya pada majlis pelancaran saluran berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Bersama, International TV & DreamWorks Classics Eric Ellenbogen dan Ketua Pegawai Eksekutif, HBO Asia Jonathan Spink.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Hunny Madu, Afzan Rahman dan Arissa Afrina.

DreamWorks boleh dilanggan secara ‘ala-carte’ pada harga RM9 sebulan dan juga HyppTV Jumbo Pack yang menawarkan kandungan hiburan dan sukan yang menarik pada harga RM60 sebulan tanpa bayaran tambahan untuk Definisi Tinggi (HD).

Sementara itu, Eric berkata, DreamWorks menghimpunkan animasi serta cerita hebat dan pihaknya amat berbesar hati untuk membawa kandungan ini dalam satu saluran seperti HyppTV.

“Sebagai pengedar eksklusif bagi saluran DreamWorks di Asia, kami amat gembira kerana dapat membawakan saluran ini di Malaysia,” katanya.

DreamWorks akan menayangkan siri terkenal termasuk siri yang pernah memenangi Emmy Awards seperti All Hail King Julien dan The Adventures of Puss in Boots.

Dragons: Race to the Edge yang diinspirasikan daripada filem How To Train Your Dragon dan siri lain pula dijangka dimuatkan pada awal tahun depan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here