Australia

Angkatan Pertahanan Australia (ADF) pada Khamis mendedahkan lebih 30 gigabait maklumat sulit angkatan pertahanan itu dicuri penggodam, lapor agensi berita Xinhua.

Penggodam, yang menggunakan kod nama “Alf,” mencuri maklumat mengenai program Serangan Pejuang Bersama bernilai AS$13.2 bilion serta program pengawasan P-8 bernilai AS$3.1 bilion, daripada sebuah syarikat kontraktor pertahanan yang berpangkalan di Adelaide.

Menurut Direktorat Isyarat Australia (ASD) penggodam mempunyai “akses penuh dan tidak terbatas” kepada maklumat selama empat bulan pada tahun 2016 sebelum perbuatan itu dikesan pada November.

Menteri Pertahanan Australia, Christopher Pyne mengakui, kerajaan masih belum berjaya mengesan pengodam berkenaan.

“Saya tidak tahu siapa melakukannya… ia mungkin dilakukan oleh orang yang berkhidmat dengan kerajaan atau mungkin bukan. Mungkin juga orang yang bekerja dengan syarikat lain,” kata Pyne kepada radio Australia.

Beliau berkata, kejadian itu “peringatan kepada semua pihak terlibat dalam kerajaan dan industri” untuk mengambil serius perihal keselamatan siber dan kerajaan bertanggungjawab penuh ke atas kejadian itu.

“Saya tidak fikir kita sekadar menyalahkan syarikat kecil kerana aspek keselamatan siber adalah di pihak kerajaan persekutuan. Bermakna terdapat kelonggaran dari aspek keselamatan,” kata Pyne.

Menurut seorang pegawai dari ASD, Mitchell Clarke, syarikat terbabit adalah kecil dengan jumlah petugas seramai 50 orang dan hanya mempunyai seorang pakar Teknologi Maklumat.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here