SEORANG pengganas Daesh rakyat Malaysia yang selama ini tidak menonjolkan diri sejak 2013 telah membuat kemunculan pertama melalui video menyeru rakyat Malaysia melancarkan serangan di tanah air sendiri.

Muhammad Aqif Heusen Rahizat, 25, atau dikenali sebagai Abu Sufyan Malayzi di kalangan rakyat pengganasnya itu muncul bersama pengganas dari Singapura Abu Akil Al Singapuri menggesa orang ramai melancarkan serangan atas nama tuhan jika mereka tidak dapat menyertai Daesh di Syria.

“Allah telah mengarahkan kamu berjihad di negara sendiri.

“Kalau kamu ada masalah untuk berhijrah ke tanah Iraq dan Sham, maka Allah telah membuka jalan jihad di negara kamu sendiri.

“Tidak ada alasan untuk kamu untuk mempertahankan agama kamu,” kata Aqif dalam video sepanjang lebih lapan minit itu.

Selain itu, Abu Akil turut menyeru rakan pengganasnya dari negara lain untuk memperkukuhkan diri dan kepercayaan.

Dia mengarahkan mereka membunuh musuh Allah tidak kira di mana-mana yang mereka boleh cari, dari Asia Timur sehinggalah Afrika Barat.

Video itu turut menunjukkan pembuatan bom dan letupan selain serangan oleh pengganas Daesh yang berakhir dengan mautnya tiga orang yang mereka dakwa sebagai musuh Islam.

Beberapa saat terakhir video itu menunjukkan beberapa gambar pengganas yang telah membunuh orang di Paris yang bertujuan menyampaikan agenda Daesh itu.

Video itu dimuat naik ke media rasmia pengganas itu Khayr Wilayah pada 30 Disember.

Sumber perisik berkata Aqif meninggalkan Malaysia pada Disember 2013 untuk menyertai kumpulan pengganas Ajnad Al Syam yang pernah disertai oleh bekas ahli PAS Kedah Mohd Ltfi Ariffin yang terbunuh pada Semptember 2014. Setelah kematian Mohd Lotfi, Aqif dan beberapa lagi pengganas rakyat Malaysia mula menyertai Daesh.

Aqif turut berjaya menghasut adiknya Muhammad Afiq Heusen Rahizat menyertai aktiviti pengganas itu.

Muhammad Afiq ke Syria pada 2014 dan terbunuh akibat serangan bom oleh tentera Amerika Syarikat pada tahun sama di sempadan Iraq dan Syria.

“Dia juga aktif merekrut rakyat Malaysia untuk sertai IS (Daesh) melalui media sosial pada tahun sama. Akaunnya bagaimanapun telah terpendam sejak 2015 hingga sekarang,” kata sumber itu.

Antara yang berjaya direkrut pengganas termasuklah seorang wanita bernama Ummi Kalsom Bahak yang sekarang ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak Oktober 2014.

Ummi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Beliau dilaporkan ketika itu dalam rancangan berkahwin dengan Aqif.

Ummi didakwa melakukan kesalahan pengganas dan dihukum penjara dua tahun.

Sejak 2015, Aqif mula tidak menonjolkan diri. Malah pihak berkuasa juga gagal mengesan dia.

Bagaimanapun, dia dipercayai berada bersama pengganas Malaysia lain di Abu Kamal, sebuah kawasan berdekatan sempadan Syria dan Iraq setelah Daesh kalah di Raqqah, Syria. – The Malaysian Insight

Artikel berkaitan: Jiran terkejut dua beradik sertai IS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here