Pengasas syarikat Kumpulan YTL yang juga Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay, meninggal dunia hari ini pada usia 88.

“Kami amat sedih atas kehilangan bapa dan pengasas Kumpulan YTL,” kata Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, Pengarah Urusan YTL Corp, yang juga anak sulung mendiang dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata di bawah kepimpinannya yang terkenal, Kumpulan YTL berkembang daripada asasnya di Malaysia sehingga merangkumi operasi dan projek di seluruh dunia.

Bermula sebagai syarikat pembinaan di Kuala Selangor pada 1955, syarikat YTL berkembang sebagai pemaju infrastruktur bersepadu dengan operasi meliputi penjanaan kuasa (dalam pasaran kontrak dan saudagar).

Selain itu syarikat itu terlibat dalam perkhidmatan air dan pembetungan, pelbagai kemudahan, komunikasi, kontrak pembinaan, pembangunan hartanah dan pelaburan, pembuatan simen dan produk dan bekalan perindustrian, pembangunan dan pengurusan hotel (termasuk operasi restoran), dan khidmat perundingan inkubasi dan khidmat nasihat untuk perniagaan Internet dan penyelesaian dan pendidikan berasaskan Internet.

“Pertumbuhan dan perkembangan Kumpulan YTL sentiasa berakar umbi kepada usaha pengerusi kami untuk membina sebuah syarikat yang kukuh, bertanggungjawab dan mapan untuk kepentingan keluarga, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan komuniti secara lebih luas, dan inilah legasinya.

“Etika kerja beliau menjadi teladan dan sifat rendah dirinya merupakan bukti kehebatan tokoh hebat itu. Kami akan merindui beliau,” kata Francis Yeoh.

Anugerah maharaja Jepun

Ho Say Keng, Setiausaha Syarikat, berkata: “Tan Sri (Yeoh Tiong Lay) sentiasa bekerja keras, tekun dan berintegriti, bukan sahaja untuk keluarga, bahkan untuk mereka di sekelilingnya.

“Beliau melayan pekerja sebagai keluarga yang lebih besar dan terkenal atas rasa cinta, kemanusian dan minatnya. Kami mempunyai pengerusi yang tiada gantinya.

“Sumbangan Yeoh Tiong Lay diiktiraf dengan penganugerahan gelaran Doktor Kejuruteraan oleh Universiti Heriot-Watt, Edinburgh dan dilantik sebagai Presiden Kehormat Sepanjang Hayat Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia pada 1988,” kata kenyataan itu.

Mendiang ialah pengasas bersama dan pengerusi pertama Persekutuan Pengeluar Asean. Pada 26 Oktober 2002, Tiong Lay dianugerah Doktor Kehormat dalam Falsafah (Pentadbiran Perniagaan) oleh Universiti Malaysia Sabah, dan dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 1 Julai 2005.

Beliau ialah pesiden dan ahli sepanjang hayat Persekutuan Antarabangsa Persatuan Kontrakor Persekutuan Asia dan Pasifik Barat Antarabangsa.

Antara lain, Tiong Lay dianugerah Order of the Raising Sun oleh Maharaja Jepun sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan cemerlang beliau terhadap kerjasama ekonomi dan persahabatan antara Jepun dan Malaysia, termasuk usahanya sebagai ahli eksekutif dan Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun pada 19 Januari 2008.

Pada 2009, beliau diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2009 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan keusahawanannya yang cemerlang terhadap pembangunan negara.

Beliau juga pemurah dan berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan YTL.

“Sebagai pemimpin terkemuka di kalangan masyarakat Cina, mendiang memegang jawatan Presiden Kehormat Dewan Perniagaan & Industri Malaysia, Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Malaysia-China; Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Presiden Kehormat Persatuan Kim Mooi Selangor dan Penasihat Dewan Perniagaan China Kuala Selangor,” kata syarikat itu.

Tiong Lay meninggalkan isteri Puan Sri Tan Kai Yong, tujuh anak Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, Datuk Yeoh Soo Min, Datuk Victor Yeoh Seok Kian, Datuk Yeoh Seok Hong, Datuk Sri Michael Yeoh Sock Siong, Datuk Yeoh Soo Keng, Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 27 cucu dan lima cicit.

YTL Corp merupakan antara 30 syarikat terbesar disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, membentuk antara syarikat komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI, indeks penanda aras utama bursa.

YTL Corp ialah syarikat induk tiga lagi syarikat senaraian iaitu YTL Power International Bhd, YTL Land & Development Bhd dan YTL Hospitality REIT.

YTL Group juga mempunyai kepentingan dalam Starhill Global Real Estate Investment Trust, yang disenarai di Papan Utama SGX-ST, Bursa Saham Singapura dan YTL Corp juga mempunyai penyenaraian sekunder di Tokyo Stock Exchange sejak 1996, syarikat pertama bukan Jepun yang disenarai di bursa saham Tokyo.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here