SERDANG – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menghantar bil kos pembersihan bernilai RM65,000 kepada penganjur perhimpunan Bersih 4 dalam waktu terdekat, kata Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah kos pembersihan bagi perhimpunan yang berlangsung di bandaraya Kuala Lumpur sahaja dan tidak termasuk kos kerosakan yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

“Itu (kos kerosakan) saya serahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memberi bil (kepada penganjur Bersih).

“Selepas itu (para peserta) kencing di merata tempat seperti di pokok bunga, belakang bangunan, bawah tangga dan dalam parit. Semua akan kita bilkan dan akan buat dalam minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di sini Selasa.

Mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan Bersih itu, Abdul Rahman berkata : “Kehadiran Tun M sangat mengecewakan.”

“Saya lihat (Tun M) seorang yang sangat marah. Seorang yang marah tidak dapat berfikir dengan waras. Mungkin Tun M boleh berjumpa dengan pihak ketiga,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu dan Ahad diisytiharkan polis sebagai haram anjuran kumpulan yang mendakwa perhimpunan itu antara lain bertujuan memperjuangkan pilihan raya yang adil serta kerajaan yang bersih.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here