pengampunan diraja

JIKA diimbas, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan tidak bersalah terhadap tuduhan liwat dan rakan-rakannya di Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan).

Ia sekali gus menimbulkan persoalan adakah Anwar akan memohon pengampunan diraja bagi jenayah yang didakwa tidak dilakukannya.

Bagaimanapun, pada Februari 2015, keluarga Anwar membuat kejutan apabila secara senyap menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat pengampunan.

Bagaimanapun, petisyen yang tidak dipohon oleh Anwar sendiri itu ditolak.

Tindakan itu bukan sahaja tidak diduga malah mengejutkan peguam Anwar dan parti diwakilinya, PKR.

Apa dibimbangi mereka ialah langkah memohon pengampunan adalah sama seperti pengakuan bersalah.

Bagaimanapun, keluarga Anwar mengatakan mereka meminta pengampunan diraja atas alasan berlakunya salah laksana keadilan.

Peguam kes jenayah, Baljit Singh Sidhu menjelaskan, tidak kira apa juga kenyataan keluarga Anwar, memohon pengampunan diraja adalah petanda meminta keampunan bagi kesalahan yang dilakukan.

Terbaharu, Pakatan Harapan yang telah pun mengumumkan barisan kepimpinannya diketuai ‘tiga nakhoda’ memaklumkan akan terus memohon pengampunan diraja kepada Anwar sebaik sahaja mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Persoalannya, mahukah Anwar mengaku dia bersalah sebelum memohon pengampunan diraja?

Sebelum ini keluarganya dan kini Pakatan Harapan pula dikatakan mahu memohon pengampunan diraja untuk Anwar.

Adakah Anwar sendiri tidak mahu memohon pengampunan diraja?

Jika Anwar tidak mahu memohon, kenapa dan apa sebabnya Ketua Umum Pakatan Harapan itu enggan berbuat demikian?

Rakyat pasti membuat kesimpulan Anwar memang bersalah dalam tuduhan liwatnya jika enggan berbuat demikian.

Jadi, adakah Anwar sendiri akan tampil membuat pengampunan diraja?

Rakyat kini pasti dan tetap menantikannya.

Umum juga mengetahui, apabila menang PRU-14, Pakatan Harapan mahu Anwar menjadi Perdana Menteri jika mendapat pengampunan diraja.

Persoalannya, sambil menunggu Anwar menjadi Perdana Menteri, siapa pula Perdana Menteri yang akan melantik anggota kabinet baharu?

Perkara ini masih belum dinyatakan oleh Pakatan Harapan sehingga kini.

Adakah negara akan ditadbir tanpa menteri kabinet sambil menunggu Anwar bebas?

Sudah tentu Pakatan Harapan perlu mengumumkan calon Perdana Menteri mereka sebelum Anwar.

Siapakah pemimpin dalam gabungan Pakatan Harapan yang layak?

Ternyata Pakatan Harapan kini sedang terlalu bercelaru dalam memilih calon Perdana Menteri sebelum Anwar.

Jika mengikut hirarki ‘tiga nakhoda’ satu kapal, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah nombor dua selepas Anwar.

Adakah Mahathir akan menjadi Perdana Menteri sebelum menunggu Anwar bebas dan mendapat pengampunan diraja?

Atau adakah Wan Azizah akan diangkat menjadi Perdana Menteri interim?

Mahathir telah pun menyatakan sokongan beliau kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya mendapat pengampunan diraja.

Siapa tidak mengenali Mahathir?

Pengerusi PPBM itulah individu yang menyekat perjalanan politik Anwar setelah memecatnya daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.

Bagaimanapun, dalam temu bual dengan The Guardian semasa lawatan beliau ke London, Mahathir membuat pusingan U dengan mengatakan sedia menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

Adakah Mahathir benar-benar memberikan sokongan ikhlas kepada Anwar atau dia ada agenda sebaliknya?

Adakah Mahathir mahu mengaburi mata ahli PKR supaya memberikan sokongan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri sebelum Anwar bebas?

Umum mengetahui, sememangnya Mahathir sebenarnya ingin menjawat jawatan nombor satu negara itu kembali.

Adakah memberikan sokongan kepada Anwar strategi dan taktik Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri?

Jika Mahathir menjadi Perdana Menteri, bayangkan pelbagai perkara dapat dan pasti dilakukannya demi mengekalkan kuasa kerana kelicikan dan pengalamannya yang luas.

Dengan dana negara yang banyak, tambahan lagi dengan kuasa Perdana Menteri yang membolehkan dia meluluskan apa yang tersekat, maka kuasa ‘membeli’ orang-orang yang membantah perlantikannya dapat diselesaikan.

Ramai juga terlupa, siapa yang ada hak bersuara jika Perdana Menteri itu adalah Perdana Menteri interim?

Inilah yang ditempah oleh rakyat jika memilih kerajaan yang tiada hala tuju.

Adakah Mahathir akan memohon pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar? Adakah Anwar juga akan berbuat demikian?

Paling penting, kedua-dua mereka mempunyai agenda politik peribadi yang ingin dicapai.

Pada masa itu, rakyat pasti menjadi mangsa dan dilupakan selain sudah terlalu lambat untuk menyesali keadaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here