PENGAGIHAN kerusi negeri Bersatu untuk Pilihan Raya Umum ke 14 akan selesai menjelang akhir bulan ini, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Bersatu itu berkata, setakat ini mereka sudah mencapai persetujuan bagi peruntukan kerusi di Perlis, Kedah dan Johor.

“Baki kerusi negeri masih dalam pelbagai peringkat perbincangan.

“Parti lain (dalam Pakatan Harapan) masih mengadakan rundingan kerusi,” katanya di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin berkata, PH sudah bersetuju bahawa semua kerusi akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

“Kesemua 52 kerusi Parlimen sudah ditentukan. Bagi kerusi negeri, separuh daripadanya sudah selesai.”

Muhyiddin berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk perbincangan mengenai peruntukan kerusi negeri, Bersatu akan menghantar pasukan nasionalnya untuk membantu.

“Kami akan menghantar pasukan kami ke mana-mana negeri yang memerlukan bantuan bagi memastikan keputusan pengagihan kerusi tidak tertangguh.

“Sekiranya ia masih belum ditentukan ini akan menjadi isu kepada PH.”

Muhyiddin juga berkata mereka akan memulakan program “Jelajah Semarak 2.0” tidak lama lagi.

“Kita akan fokuskan kepada kawasan yang memerlukan penjelasan isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda, kos sara hidup tinggi, rasuah dan isu lain.

“Terdapat banyak tempat yang kita perlu pergi dan sebarkan maklumat ini.”

Muhyiddin juga berkata beliau turut melawat Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu.

“Saya melawat Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) dan beliau nampak sihat dan doakan beliau cepat sembuh.

“Saya beritahu beliau, kita mempunyai pemimpin berkebolehan dan tidak perlu risau tentang Bersatu.

“Saya turut menasihatkan beliau agar ambil lebih masa untuk berehat di rumah.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here