Tiada kata sepakat dicapai dalam Mesyuarat Khas Pakatan Harapan (Harapan) Selangor kali ke-5 berkenaan pengagihan kerusi Dun yang berlangsung di Pejabat Harapan Selangor, di sini hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Salehudin Amiruddin kepada pemberita petang tadi.

“Saya boleh anggap belum ada sebarang keputusan mesyuarat jawatankuasa kali ini kerana pertindihan kerusi antara Bersatu dan PKR gagal diselesaikan.

“Perbincangan kali ini pula hanya melibatkan Bersatu, PKR dan Amanah, bagaimanapun DAP tidak terlibat dalam pertindihan kerusi berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat tiga kerusi yang dimenangi Umno pada PRU13 lalu kemungkinan tidak berlaku pertindihan antara Bersatu dan PKR.

“Kerusi berkenaan adalah Dun Jeram, Sungai Air Tawar dan Dengkil. Bukan tidak bertindih sebaliknya kemungkinan PKR bersetuju untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Harapan Selangor yang juga Timbalan PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan hari ini berjaya menyelesaikan satu lagi kerusi sekaligus menjadikan 36 kerusi Dun berjaya diselesaikan di negeri ini.

“Bagaimanapun saya tidak dapat dedahkan nama kerusi itu dan milik parti mana,” katanya. – SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here