Penduduk Taman Bestari telah membantah cadangan jajaran projek HSR Kuala Lumpur – Singapura yang akan melintasi taman tersebut. Berikut adalah pandangan daripada Jawatankuasa Bertindak Desa Bestari HSR :

Lebih kurang 75 peratus umur ketua isirumah unit-unit kediaman yang terlibat secara langsung dengan cadangan jajaran HSR adalah melebihi 50 tahun. Struktur umur ini adalah di dalam kategori mereka-mereka yang hampir atau sudah bersara. Kumpulan majoriti ini telah merancang dan memilih taman ini sebagai tempat untuk mereka bersara.

Taman Desa Bestari juga di kalangan penduduk mengelarkannya sebagai ‘Taman 30 Ustaz’. Gelaran ini diberi berdasarkan terdapat lebihkurang 30 ketua isirumah penduduk taman ini terdiri daripada pensyarah dan pegawai di institusi pengajian tinggi dan jabatan kerajaan seperti : USIM, KUIS, JAKIM dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dengan itu, segala pencerahan dan persoalan berkaitan isu dan masalah agama dapat dirujuk terus oleh penduduk kepada golongan ilmuan agama ini.

HSR1

Dalam taklimat wakil HSR dengan penduduk Taman Desa Bestari pada 14 November 2017 di Balai Raya Kampung Salak Tinggi diberitahu bahawa kawasan yang cuba dielakkan dari terlibat dengan jajaran HSR antaranya ialah hutan simpan, rumah ibadat dan tanah rezab Melayu. Tetapi perkara ini hanyalah alasan klise untuk menyejukkan hati. Jelas sekali Taman Desa Bestari serta kawasan sepanjang jajaran HSR di kawasan tersebut adalah tanah dan aset bertaraf HAK MILIK KEKAL REZAB MELAYU.

Perkhidmatan HSR ini adalah bagi kegunaan semua kaum. Bukan untuk orang Melayu sahaja. Isunya mengapa pengambilan tanah rezab Melayu tetap dilakukan untuk projek ini? Mengapa sewenangnya tanah hak milik Melayu dijadikan mangsa dan dirampas dari hak bangsa Melayu bagi kemudahan semua sebaliknya jajaran HSR boleh pula mengelakkan pengambilan ke atas tanah Kuil Hindu atau bandar atau pekan tanah milik bangsa cina?

Projek HSR ini pula bukan untuk kemudahan penduduk setempat di kawasan Salak Tinggi kerana tiada stesyen transit yang disediakan untuk penduduk menggunakan kemudahan ini malah projek ini dilihat sebagai lebih kepada memberi kemudahan golongan tertentu dari selatan untuk tujuan mempertingkatkan aktiviti ekonomi.

TANAH REZAB MELAYU tidak boleh berpindah milik kepada bangsa lain. Pampasan yang akan dibayar bukanlah isu utama. Cara pengambilan tanah HAK MILIK KEKAL REZAB MELAYU ini dianggap sebagai strategi penafian untuk hak orang Melayu memiliki hartanah di negara sendiri dengan menggunakan alasan menyediakan kemudahan awam untuk semua yang sangat tidak boleh diterima.

Secara taktikelnya orang Melayu semakin diusir keluar dari kawasan yang berpotensi membangun yang sememangnya milik mutlak orang Melayu. Ini dilihat sebagai strategi untuk mengizinkan tanah rezab Melayu berpindah milik kepada pihak lain. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada PROTON yang akhirnya berpindah milik kepada CHINA. Pengambilalihan PROTON ini mengakibatkan asetnya berpindah milik kepada pihak asing. Perkara ini juga tidak mustahil berlaku kepada projek HSR pada masa hadapan.

Sekiranya ini terjadi maka semua tanah dan aset HSR akan berpindah milik kepada pihak asing. Tanah dan aset yang asalnya adalah HAK MILIK KEKAL REZAB MELAYU. Bagaimanakah nasib anak bangsa Melayu masa hadapan yang dinafikan peluang memilik hartanah yang sememangnya untuk bangsa Melayu dan mereka akhirnya terus tersingkir dari kawasan berpontensi tinggi? Orang Melayu tidak ada negara kedua untuk dituju selain Malaysia. Di sinilah hidup dan mati bangsa Melayu.

JAG

Umum semua tahu bahawa projek HSR ini telah sekian lama dirancang semenjak era pemerintahan Perdana Menteri yang keempat lagi. Cadangan kawasan-kawasan yang terlibat dengan jajaran HSR juga sudah lama dirancang dan diketahui.

Tetapi mengapakah pihak berkuasa tempatan masih meluluskan pembangunan di kawasan yang terlibat dengan jajaran HSR ini justeru membiarkan masyarakat terus memilik hartanah di kawasan tersebut lantas memberikan harapan keselesaan kehidupan masa hadapan palsu kepada kami?

Di saat kami sudah selesa dan bermastautin di kawasan ini secara paksaan keselesaan kehidupan itu dirampas dari kami. Rata-rata ramai pemilik hartanah di Taman Desa Bestari berada di usia menjangkau warga emas yang cuma inginkan kehidupan selesa dan tidak dibebani hutang. Pemilikan hartanah di kawasan tersebut adalah sebagai pelaburan dan persediaan menghadapi alam persaraan serta memastikan anak cucu kami memiliki hartanah bertanah (landed property) di negara sendiri.

Ramai pemilik hartanah yang diambang warga emas sudah hampir melunaskan tempoh pinjaman ketika ini. Pengambilan hartanah kami di Taman Desa Bestari akan menyulitkan penduduk di usia warga emas seperti kami untuk mencari hartanah lain yang sama spesifikasi, kemudahan dan lokasi serta yang pastinya akan amat membebankan kerana usia tidak menyebelahi kami membuat pinjaman bank walaupun dijanjikan pampasan yang belum tentu jumlahnya.

Cadangan jajaran HSR melibatkan pengambilan hartanah kami di Taman Desa Bestari serta kawasan lain bertaraf HAK MILIK KEKAL REZAB MELAYU ini jelas sekali menongkah slogan RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUATAMAKAN yang dilaungkan selama ini. Jangan nanti rakyat menggunakan perkara ini antara justifikasi dalam membuat keputusan setiap lima tahun sekali.

Jawatankuasa Bertindak Desa Bestari HSR

1 COMMENT

  1. Memang benar, tanah reserve Melayu menjadi mangsa pengambilan untuk landasan HSR. Kami di Kg Dato’ Abu Bakar Baginda Kg Warisan dan Tradisional yang di antara yang tertua pun menjadi mangsa. Sama-samalah kita membantah supaya laluan landasan HSR dipindahkan ke kawasan lain yang masih banyak dan merata-rata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here