TEMERLOH, 31 Ogos (Bernama) — Seramai 800 penduduk Orang Asli Kampung Penderas di Kuala Krau, dekat sini menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara sempena Hari Kebangsaan dengan mengibarkan 58 Jalur Gemilang tengah malam tadi.

Mereka mengibarkan Jalur Gemilang berukuran 3 meter x 4 meter setiap satu di beberapa kawasan di perkampungan itu dalam satu majlis yang dihadiri anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak Datuk Mohamed Jaafar.

Ketua Batin Orang Asli Kampung Penderas Batin Fendi Yunus, berkata melalui usaha seperti ini, mereka dapat menunjukkan tanda terima kasih dan sokongan masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan.

“Kami Orang Asli berbesar hati dan bersyukur di bawah pemerintahan kerajaan yang banyak membela dan membantu Orang Asli di negara ini.

“Orang Asli tetap mengenang budi kerajaan dan akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN pada bila-bila masa,” katanya ketika berucap pada perhimpunan tersebut.

Mohamed dalam ucapannya pada majlis itu turut meminta Orang Asli berwaspada terhadap sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut mereka membenci kerajaan.

Golongan tersebut, katanya, iri hati dengan kemajuan dicapai Orang Asli di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mereka mahukan Orang Asli membenci dan menentang kerajaan kerana Orang Asli merupakan penyokong setia kerajaan BN,” katanya.

Justeru beliau berharap masyarakat Orang Asli pandai menilai siapa yang membela nasib mereka dan siapa yang memperalatkan mereka untuk kepentingan politik.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here