Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kos pendidikan di peringkat rendah dan menengah kini percuma bagi ibu bapa dengan kerajaan membelanjakan purata RM8,900 bagi setiap pelajar setahun.

Perdana menteri berkata menerusi Bajet 2018, kerajaan telah memperuntukkan dana besar bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Ini termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara,” katanya dalam catatan di laman blog rasmi beliau hari ini.

Najib berkata secara purata, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah 2 kali ganda berbanding perbelanjaan negara Asean yang mengukuhkan kenyataan betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan akan sentiasa menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menzahirkan penghargaan kepada guru seluruh negara bersempena permulaan sesi persekolahan tahun 2018 pada Isnin di 4 negeri iaitu Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan dan Selasa di negeri-negeri lain.

“Saya lihat begitu ramai yang melakukan lebih daripada tugasan (hakiki) mereka atau ‘going the extra mile’, bagi menjadikan pengalaman hari pertama di sekolah sebagai pengalaman yang tak dapat anak-anak kita lupakan.

“Ada yang mengenakan pakaian adiwira, ada yang mengecat dan menghias semula kelas, dan bermacam-macam lagi. Syabas kepada guru-guru yang cukup berdedikasi dalam mendidik anak-anak kita,” katanya.

Menurut Najib, BN sentiasa menekankan kepentingan pendidikan sejak dahulu lagi dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak, tidak kira apa latar belakang keluarga mereka mampu mempunyai akses kepada pendidikan.

“Kalau dahulu, ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar, daripada yuran khas hinggalah bayaran tambahan persekolahan. Kesemua yuran ini telah dimansuhkan. Yang tinggal kini cuma sumbangan mengikut keperluan kepada sekolah.

“Kalau dahulu juga, pinjaman buku teks hanya diberikan mengikut taraf pendapatan ibu bapa, kini ia diberikan kepada semua pelajar,” kata perdana menteri.

Najib berkata kerajaan juga terus menyediakan dana bagi menambah baik dan menyelenggara sekolah-sekolah agar anak-anak dapat belajar dalam suasana kondusif dan ceria.

“Dalam Bajet 2018, sebanyak RM550 juta disediakan bagi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Malah lebih daripada itu, dalam Bajet 2018 juga saya turut mengumumkan peruntukan terbesar bernilai RM2.5 bilion bagi membaiki dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara menggunakan kaedah IBS atau Industrial Building System (Sistem Binaan Berindustri),” kata Najib.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here