Isu pendidikan percuma dan hutang pelajar merupakan satu isu yang sering diperdebatkan di Malaysia. Hal ini adalah kerana jumlah kemasukan ke universiti yang semakin meningkat dan segelintir pelajar menghadapi kesukaran membayar semula hutang pendidikan setelah tamat pengajian kerana gagal memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan taraf pendidikan mereka. Kini wujud ibubapa yang beranggapan lebih baik anak mereka terus bekerja daripada melanjutkan pelajaran di universiti, bagi mengelakkan terbeban dengan hutang pelajaran.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa pendidikan percuma di Malaysia dapat menyelesaikan masalah ini. Berdasarkan hujah mereka, pendidikan percuma penting kerana mampu mengurangkan beban rakyat yang menghadapi peningkatan kos sara hidup di samping memberi peluang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia mendapat pendidikan lebih baik tidak mengira bangsa dan keturunan. Pelajar juga tidak akan terbeban untuk membayar hutang setelah tamat pengajian. Namun sedemikian, adakah pelaksanaan pendidikan percuma merupakan langkah yang wajar?

Pendidikan percuma telah dilaksanakan di beberapa negara maju antaranya Norway, Finland, Sweden, Denmark, Jerman, Slovenia dan Perancis. Pendidikan di negara ini dibiayai dengan menggunakan hasil cukai dan organisasi amal. Institusi yang menerima dana ini dapat menggunakannya bagi tujuan perbelanjaan operasi dan aktiviti institusi di samping bagi memberikan pendidikan percuma kepada para pelajar.

Namun sedemikian, wujud masalah bagi negara yang memberikan pendidikan percuma ini. Sebagai contoh, di Denmark, polisi pendidikan percuma telah menyebabkan pelajar kurang bermotivasi untuk belajar dan tidak menamatkan pelajaran dalam tempoh yang ditetapkan. Perkara berbeza berlaku di Jerman, di mana kerajaan Jerman meningkatan kadar cukai pendapatan bagi menampung kos pendidikan percuma. Perkara ini didapati agak membebankan sesetengah pihak.

Jadual di bawah menunjukkan kadar cukai pendapatan individu bagi negara-negara yang memberikan pendidikan percuma ini. Kadar yang dikenakan jauh lebih tinggi berbanding kadar cukai yang dikenakan kerajaan Malaysia. Hal ini kerana mereka perlu menanggung beban bagi pendidikan percuma yang disediakan oleh kerajaan. Jika rakyat Malaysia inginkan pendidikan percuma, kemungkinan besar wujud peningkatan dalam kadar cukai pendapatan individu.

Negara Kadar Cukai Pendapatan Individu
Jerman 14.0% – 47.5%
Norway 0.0% – 46.9%
Finland 7.7% – 61.9%
Denmark 29.7% – 55.8%
Slovenia 16.0% – 50.0%
Perancis 0.0% – 45.0%
Malaysia 0.0% – 28.0%

 

Jika majoriti pelajar datang daripada golongan berpendapatan rendah (B40), maka langkah kerajaan memberikan pendidikan percuma di peringkat universiti disokong. Hal ini kerana pendidikan percuma berkemungkinan besar dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan. Namun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Berdasarkan ahli ekonomi British, Nicholas Barr, lebihan subsidi yang diberikan kepada universiti, bagi menyediakan pendidikan percuma lebih terakru kepada pelajar dari golongan pertengahan dan atasan.

Wujud persoalan, jika pendidikan tidak diberikan secara percuma, apakah nasib golongan berpendapatan rendah di Malaysia? Adakah mereka akan menjadi golongan yang ketinggalan dan tidak mampu keluar dari kelompok kemiskinan?

Di Malaysia, kerajaan telah menyediakan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah awam. Menurut Ketua Sausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, kerajaan membelanjakan purata setahun RM8,900 untuk seorang murid yang merangkumi pembelajaran, penyediaan insfrastruktur, dan banyak lagi sepanjang pengajian mereka. Bagi pengajian tinggi, kerajaan Malaysia menyediakan pinjaman pendidikan melalui PTPTN dan beberapa saluran biasiswa.

Bagi pinjaman PTPTN, pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama dapat menukarkan pinjaman mereka kepada biasiswa. Kerajaan akan menampung kos pengajian mereka. Namun, agak tidak adil jika kerajaan meletakkan syarat yang sama untuk semua kelompok masyarakat. Hal ini kerana pelajar daripada golongan pertengahan dan atasan mempunyai sumber yang lebih untuk cemerlang di dalam pelajaran.

Justeru, kerajaan mungkin boleh melakukan penambahbaikkan di dalam dasar sedia ada, seperti meletakkan syarat PNGK minimum 3.3 bagi menukarkan pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang datang daripada kelompok B40. Perkara ini dapat memberikan motivasi kepada mereka agar melanjutkan pengajian dan seterusnya dapat membantu mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here