“Mereka menggunakan pelbagai cara termasuk mempergunakan rakan akrab kita untuk memikat kita menyertai sesuatu skim pelaburan,” kata seorang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang pernah didekati anggota sindiket penipuan pelaburan ala “skim cepat kaya”.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 54, berkata anggota sindiket penipuan pelaburan tersebut lazimnya mendekati mangsa di pelbagai lokasi seperti ketika bertemu di kedai kopi dan mempelawa mangsa untuk mendengar taklimat bagi mengetahui lebih lanjut tawaran istimewa skim pelaburan itu yang diadakan termasuk di hotel.

“Pada sesi taklimat tersebut mereka menonjolkan beberapa personaliti berperwatakan mewah yang dikatakan meraih kejayaan selepas menyertai skim pelaburan tersebut dan mereka datang dengan memandu kenderaan mewah bagi menyakinkan mangsa,” katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pencarum KWSP menjadi sasaran kerana mereka dianggap antara “orang berduit” di mana pencarum berpeluang atau layak mengeluarkan semua simpanan mereka apabila mencapai usia 55 tahun.

Sulaiman bernasib baik pengetahuannya mengenai pengurusan kewangan dan pendedahan media massa mengenai mangsa yang ditipu oleh sindiket pelaburan haram atau ala skim cepat kaya, menjadi perisai bagi dirinya daripada terperangkap dengan jerat penipuan.

Mengulas perkara sama, walaupun tiada laporan kes penipuan membabitkan pencarum KWSP di negeri ini setakat ini yang diterima oleh polis mahupun persatuan pengguna, pihak polis tidak menolak kemungkinan ia berlaku namun mangsa enggan membuat aduan.

Sehubungan itu, polis Kelantan menasihati orang ramai termasuk pencarum KWSP supaya sentiasa berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan khususnya melalui panggilan telefon dan media sosial yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Supt Mohamad Zulmazi Che Daud berkata penipuan yang dikesan melibatkan mangsa mengalami kerugian beribu ringgit malah ada yang berpuluh ribu ringgit. Antara jenis penipuan dikesan adalah melalui dalam talian, menawarkan pakej umrah dan haji, melalui panggilan telefon, penjualan hartanah serta pelaburan atau perniagaan ala Multi Level Marketing (MLM).

Beliau berkata kes penipuan paling banyak dikesan adalah melalui panggilan telefon yang menghantar mesej dengan mengatakan mahu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa dan mangsa biasanya disuruh menukar nombor pin untuk dimasukkan sejumlah wang yang banyak ke dalam akaun.

“Mangsa hanya menyedari tertipu apabila membuat pemeriksaan akaunnya dan mendapati sejumlah wang dalam akaun lesap,” katanya.

Beliau berkata ada mangsa yang tertipu melalui urusniaga melalui dalam talian di mana mereka membayar wang namun barangan tidak dihantar manakala penjual biasanya terus menghilangkan diri dan menukar nombor telefon bagi menggelak dikesan.

Mohamad Zulmazi berkata bagi kes penipuan pakej umrah dan haji ia melibatkan orang kenamaan dan bagi tempoh 2012 hingga September 2017 sebanyak 287 kes dicatatkan.

“Mengikut rekod pada 2016 sahaja sebanyak 6 kes dicatatkan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM298,990. Mereka ini biasanya menggunakan modus operandi seperti berperwatakan alim untuk memperdayakan mangsa khususnya warga emas,” katanya.

Mengulas perkara sama, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK), agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), menasihati orang ramai supaya mengenali terlebih dahulu jenis pelaburan yang ditawarkan serta potensi pulangannya supaya pelaburan yang dilakukan tidak lebur begitu sahaja.

Ini kerana terdapat pelbagai jenis pelaburan berkaitan produk perbankan dan sekuriti yang diluluskan atau di bawah kawal selia oleh pihak berkuasa seperti BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Setiap pelaburan mempunyai potensi pulangan dan risikonya yang tersendiri iaitu semakin tinggi potensi pulangan sesuatu pelaburan itu, bermakna semakin tinggi jugalah risikonya.

“Namun berhati-hatilah, kerana terdapat juga pelbagai jenis pelaburan di luar sana yang tidak diiktiraf atau diluluskan oleh pihak berkuasa dan pastikan anda memilih saluran pelaburan yang diyakini selamat untuk menjamin kemungkinan pulangan pelaburan yang baik,” kata Ketua AKPK Kota Bharu Mohd Rizauddin Noor kepada Bernama.

Antara jenis pelaburan yang tidak mendapat kelulusan ialah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang cukup tinggi dalam jangka masa yang sangat singkat sehingga mampu menarik minat ramai orang untuk menyertainya.

Pelabur malang yang terjebak dalam skim pelaburan cepat kaya sebegini akhirnya akan kehilangan segala-galanya, kaya yang diimpikan hanya bakal mengundang mimpi ngeri.

“Dengan jaminan risiko yang sangat rendah atau hampir tiada risiko, pengendali skim cepat kaya ini bijak bermain kata-kata untuk memancing perhatian mangsa dengan jaminan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Mereka pandai meyakinkan mangsa untuk melabur wang dalam skim mereka dan akhirnya pelaburan mangsa akan hilang begitu sahaja,” kata Mohd Rizauddin.

Beliau berkata walaupun banyak skim seperti ini yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan ada antara pengendalinya dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah namun mereka tidak pernah serik untuk menubuhkan skim baharu untuk terus memerangkap mangsa baharu.

Mereka sentiasa memperbaiki sistem skim penipuan lama dengan memperkenalkan ciri-ciri yang kononnya berbeza untuk mengelakkan daripada dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa dengan pelbagai ciri unik ditambah atau diolah untuk mengaburi kesedaran dan menarik pelabur baharu, katanya.

Beliau berkata skim dagangan mata wang asing haram pula melibatkan aktiviti pelaburan dalam mata wang asing dengan tujuan untuk mendapat pulangan yang tinggi daripada pergerakan kadar tukaran mata wang asing.

Pelabur lazimnya mudah tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan serta kemudahan akses pelaburan yang kini kebanyakannya boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata pelabur diumpan dengan undangan untuk menghadiri seminar dan bengkel percuma yang menerangkan betapa lumayannya pulangan yang bakal mereka perolehi sebelum mereka diminta membuka akaun dagangan mata wang asing dengan sesebuah syarikat yang didakwa mempunyai dagangan mata wang lesen yang sah.

Katanya setelah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut, pelabur akan sentiasa diminta untuk menambah pelaburan dengan alasan kekurangan margin pelaburan awal dan untuk mengelakkan kehilangan modal.

“Skim-skim ini kini cenderung menggunakan siswazah atau graduan baharu dari institusi pengajian tinggi untuk mempromosikan sistem pelaburan mereka, bukan sahaja golongan ini sering tampil kemas dan berpengetahuan tinggi dalam membicarakan mengenai pasaran mata wang dunia, malah mereka juga lebih mudah untuk mempengaruhi ahli keluarga serta rakan-rakan untuk menyertai skim pelaburan ini,” katanya.

Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA) jelas menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing, atau terlibat atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam sebarang perbuatan membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana individu atau syarikat yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti sedemikian.

“Oleh itu, jika anda diajak untuk melabur wang anda dalam skim pelaburan mata wang asing oleh pihak selain daripada peniaga mata wang yang sah, anda mungkin akan menjadi mangsa seterusnya sindiket dagangan haram mata wang asing,” katanya.

Skim Pelaburan Internet pula lebih terkenal dengan generasi celik teknologi maklumat (IT) yang tegar menggunakan internet dan media sosial untuk mendapatkan maklumat serta menggunakan kemudahan dalam talian untuk berurusan.

Pelaburan ini membayangkan pulangan, faedah atau keuntungan yang besar, kebiasaannya pada kadar yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen yang lain dan mereka juga meyakinkan pelabur bahawa risiko pelaburan dalam skim mereka adalah sangat rendah, bahkan sesetengah pengendali skim berani menjanjikan pulangan tanpa sebarang risiko pelaburan.

Melalui laman web atau e-mel, pelabur didekati oleh pengendali skim ini dengan tawaran khidmat nasihat kewangan percuma serta pujukan untuk melabur dengan mereka. Namun individu atau syarikat pengendali skim pelaburan ini sebenarnya tidak pernah dilesenkan sebagai penerima deposit dan tidak mendapat kebenaran oleh pihak BNM.

Mereka juga tidak memperoleh lesen atau kelulusan daripada pihak SC untuk memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti sekuriti atau niaga hadapan, apatah lagi untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia.

Mohd Rizauddin turut menasihati orang ramai supaya berwaspada kegiatan pengambilan deposit secara haram di mana skim ini turut dijanjikan dengan pulangan yang tinggi, meskipun pengendali skim ini tidak mempunyai kuasa atau kebenaran untuk mengambil deposit daripada mana-mana pihak kerana BNM hanya memberikan lesen kepada pihak bank atau syarikat tertentu sahaja untuk menerima deposit daripada orang awam.

“Pengendali skim ini bijak beroperasi dengan meyakinkan pelabur melalui pulangan awal yang diberikan hasil kutipan daripada pelabur-pelabur baharu yang lain. Pelabur kemudiannya dipujuk untuk melabur semula dengan jumlah yang lebih besar untuk menikmati pulangan yang lebih lumayan pada kadar yang tinggi.

“Pelabur juga mungkin digalakkan untuk mempromosi dan mengajak rakan-rakan menyertai skim ini. Walau bagaimanapun, tiada jaminan yang pengendali ini mampu untuk terus membayar pulangan seperti yang dijanjikan jika mereka atau anda sendiri gagal mendapatkan pelabur-pelabur baharu. Akhirnya, skim ini akan gagal dan pelabur menghadapi kerugian apabila pengendali menghilangkan diri bersama-sama wang pelaburan yang terkumpul,” katanya.

Beliau berkata penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan phishing merupakan satu lagi trend penipuan pelaburan alaf baharu dengan menggunakan perantaraan SMS dan e-mel untuk menjalankan aktiviti memancing data peribadi atau dikenali sebagai phishing.

SMS dihantar secara rawak untuk menawarkan hadiah menarik serta ganjaran hebat sama ada wang tunai atau barangan mewah, penerima yang bertuah akan dikehendaki menghubungi mereka semula untuk memberikan butiran lanjut supaya pemberian hadiah dapat dilakukan.

E-mel yang dihantar pula kononnya mengandungi notis makluman penting daripada pihak bank yang memerlukan pengguna untuk memberikan maklumat peribadi mereka seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank serta kata laluan akaun bank.

Jika pengguna menjawab e-mel tersebut, maklumat peribadi pengguna akaun akan dapat digunakan oleh pengendali skim untuk mengakses dan memindahkan wang simpanan yang terdapat di dalam akaun bank pengguna. Meskipun penghantaran SMS dan e-mel ini sering dilakukan tanpa mengambil kira sama ada pengguna tersebut benar-benar mempunyai akaun di bank yang disebutkan, tetapi masih ada mangsa yang terpedaya dengan helah sedemikian.

Berhati-hatilah dengan sebarang tawaran melalui SMS atau e-mel yang anda terima dan pastikan dahulu bahawa sumbernya adalah daripada pihak yang sah. Anda juga dinasihatkan supaya tidak mengklik pautan yang mencurigakan, terutamanya apabila melakukan transaksi perbankan dalam talian.

Dalam pada itu, Mohd Rizauddin berkata AKPK menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan kewangan yang direka khas untuk membantu setiap individu belajar mengawal semula keadaan kewangan dan memupuk tabiat penggunaan kredit secara bijak yang pastinya akan memberikan mereka ketenangan hidup. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here