Pencabulan Al-Aqsa

SETELAH hampir dua minggu umat Islam Palestin mengadakan protes besar-besaran berikutan tindakan rejim Zionis Israel mengetatkan sekatan kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa, rejim itu akhirnya akur dengan tekanan umat Islam dan antarabangsa agar menghentikan segera tindakan unilateral mereka.

Sebelum ini, krisis sekatan di Masjid Al-Aqsa dilihat memasuki fasa ketegangan yang baharu apabila rejim Zionis bertindak memaksa penduduk Palestin untuk melalui pemeriksaan pengesan logam dan kamera keselamatan tambahan (https://www.ft.com/content/66c6ab92-6afa-11e7-b9c7-15af748b60d0) yang dipasang di sekitar pintu masuk masjid tersebut.

Walaupun pemasangan pengesan logam dan pemantauan keselamatan itu kini telah pun ditarik semula, tindakan itu ternyata masih tidak mampu meredakan kemarahan penduduk Palestin dan umat Islam secara amnya yang melihat Israel semakin biadap mencemarkan kesucian Al-Aqsa.

Motif Tersembunyi Zionis

Langkah yang dikenakan sebelum ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam Palestin dan dunia Islam amnya mengenai niat tersembunyi Zionis yang mahu mengubah status quo sedia ada dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Masjid Al-Aqsa sekaligus merealisasikan cita-cita lama mereka yang mahu membina Haykal Sulaiman di atas tapak masjid tersebut.

Bagi yang belum tahu, setelah berakhirnya Perang Enam Hari Arab-Israel pada 1967, pentadbiran agama di Al-Aqsa diselia oleh Jabatan Waqf kerajaan Jordan, manakala Israel pula menguasai sepenuhnya kawalan keselamatan di tapak masjid tersebut.

Sejak tarikh itu juga, penduduk haram Yahudi dibenarkan untuk mengunjungi Al-Aqsa dalam jumlah yang besar sambil diiringi anggota keselamatan Israel. Ada ketikanya, jumlah mereka mencecah ratusan orang.

Sepanjang krisis sekatan itu berlarutan sehingga semalam (Khamis), umat Islam masih lagi tetap mengunjungi Al-Aqsa tetapi memilih untuk mendirikan solat di bahagian luar masjid tersebut sebagai satu bentuk protes terhadap tindakan biadap rejim Zionis berkenaan hal ini.

Setelah langkah unilateral Israel itu ditarik balik, azan pertama dilaporkan telah pun dilaungkan dari bahagian dalam Masjid Al-Aqsa dengan umat Islam Palestin meraikan kemenangan dalam menekan Israel dalam hal ini.

Walau bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, rejim Israel masih lagi menutup salah satu pintu masjid suci tersebut dan dilaporkan terus mencederakan orang awam Palestin yang membantah tindakan rejim tersebut.

Sehingga kini, tidak kurang enam orang awam Palestin terbunuh manakala ratusan yang lain cedera sejak krisis itu bermula sejak 14 Julai yang lalu.

Kesucian Al-Aqsa Dan Tragedi Umat 

Hakikatnya, umat Islam di seluruh dunia pada hari ini sedang mengalami krisis yang parah. Negara-negara Islam yang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam mendepani isu-isu umat seolah-olah kurang sensitif dengan apa yang sedang dan telah berlaku di Palestin.

Negara-negara Arab yang kaya sibuk bertelingkah sesama sendiri hanya kerana perbezaan mazhab. Kelebihan pengaruh dalam ekonomi dan persenjataan pula digunakan sepenuhnya untuk menganiaya dan menyerang negara ‘adik-beradik’ yang lain.

Sejak jatuhnya pemerintahan Khilafah pada 1924, perpecahan umat Islam semakin parah. Konsep negara bangsa yang diterapkan Barat nyata telah berjaya membuatkan begitu banyak negara Islam khususnya Arab untuk hanya memikirkan survival masing-masing.

Sebahagian negara-negara Arab khususnya lebih cenderung bersahabat dengan Israel dalam pelbagai aspek khususnya pertukaran maklumat perisikan dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negara Islam yang lain.

Ternyata aura Revolusi Arab atau Arab Spring yang telah meranapkan beberapa kerajaan di Asia Barat begitu menggusarkan mereka. Maka atas kebimbangan tersebut, mereka mengambil pendekatan untuk berkawan dengan Israel untuk memastikan ancaman-ancaman seumpama itu dapat ditangkis lebih awal.

Hasilnya adalah apa yang kita lihat pada hari ini. Atas telunjuk Barat dan Israel, sebahagian negara Islam kini memulaukan negara Islam yang lain kononnya atas nama anti-keganasan. Nyatalah, konsep enemy of my enemy is my friend didakap dengan sangat erat sebahagian pemimpin umat Islam pada hari ini.

Alangkah baiknya jika kesemua negara Arab ini menggunakan masa, tenaga dan kekayaan mereka untung menghadapi musuh yang sama. Ternyata harapan ini masih terlalu jauh untuk direalisasikan. Sebaliknya kita menyaksikan pada hari ini, sensitiviti umat terhadap kesucian Al-Aqsa lebih banyak terlihat di negara-negara bukan Arab.

Kita perlu dan wajar berbangga bahawa Malaysia antara negara yang selalu terkehadapan dalam isu umat khususnya yang berkaitan dengan nasib umat Islam di Palestin.

Kelesuan OIC Dan Liga Arab

Sudah jatuh ditimpa tangga, organisasi yang sepatutnya menjadi simbol penyatuan Islam melalui pembentukan idea Pan-Islamisme seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab juga seolah-olah buta dan pekak terhadap nasib malang yang sudah lebih seabad menimpa Palestin sejak Kongres Zionis berlangsung pada 1897 dan Perjanjian Balfour dimeterai pada 1917.

Tahukah kita bahawa faktor utama yang membawa kepada penubuhan OIC pada 25 September 1969 adalah peristiwa serangan dan pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos tahun yang sama? Dalam peristiwa malang tersebut, hampir satu per empat daripada keseluruhan masjid suci itu hangus dibakar oleh seorang Yahudi Australia, Denis Michael Rohan (https://en.wikipedia.org/wiki/Denis_Michael_Rohan) setelah percubaan yang pertamanya gagal tidak lama sebelum itu.

Insiden ini telah menyebabkan masjid tersebut ditutup untuk solat Jumaat buat pertama kali. Insiden ini jugalah yang membawa kepada pengenalan Hari Al-Quds untuk mengingatkan umat Islam bahawa Masjid Al-Aqsa yang sedang diancam dan dicabuli kesuciannya kini adalah tanggungjawab mereka bersama.

Malangnya, setelah hampir 48 tahun peristiwa tersebut berlaku, tindakan tegas dan pendirian konkrit OIC mengenai pencabulan Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan nasib saudara kita di Palestin hampir tidak kelihatan. Malah, tidak keterlaluan untuk penulis sifatkan respon terhadap tindakan Zionis daripada pemimpin-pemimpin negara Islam yang kita pertaruhkan harapan umat selama ini rata-ratanya bernada sangat lembik dan berhati tikus.

Setelah berdekad-dekad lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin dinafikan hak mereka dan diperlakukan pula tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Zionis, pemimpin dunia Islam hanya mampu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan tersebut tanpa disusuli sebarang tindakan yang lebih tegas.

Lebih malang, bukan sedikit pemimpin-pemimpin ini yang kita lihat lebih gemar menggunakan isu Palestin di peringkat antarabangsa sebagai satu strategi untuk melonjakkan populariti politik mereka di negara masing-masing.

Tidakkah mereka malu dengan beberapa negara lain yang nyata lebih bersungguh dan prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk Palestin? Lihat sahaja bagaimana reaksi tegas Cuba terhadap tindakan Israel yang cuba mengeksploitasi Sesi Ke-41 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO (https://www.youtube.com/watch?v=VO1GqRLWv0Q) yang berlangsung di Krakow, Poland pada 4 Julai 2017 demi kepentingan negara itu. Dalam sesi tersebut, Cuba bangun dan mempelawa ahli mesyuarat yang hadir untuk berdiri sebagai tanda penghormatan dalam apa yang dipanggil moment of silence untuk penduduk Palestin.

Begitulah rapuhnya kesatuan Islam pada hari ini. Begitulah juga nipisnya keberanian yang ada dalam diri ramai pemimpin dan banyak pertubuhan yang selama ini kita harapkan untuk menjuarai isu-isu berkaitan umat Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Liga Arab dikatakan telah bersidang pada 27 Julai 2017 (Khamis), sementara OIC pula dikhabarkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 1 Ogos 2017 bagi membincangkan situasi di Al-Aqsa.

Samada mesyuarat ini akan terus terjelma selepas perkembangan terbaru di Al-Aqsa, kita tunggu dan lihat.

Namun, setelah saban tahun umat Islam disajikan dengan pelbagai mesyuarat dan persidangan negara-negara Islam tanpa sebarang tindakan konkrit dalam mendepani pencabulan terhadap hak dan nasib umat Islam di seluruh dunia termasuklah terhadap nasib penduduk Palestin dan kesucian Masjid Al-Aqsa oleh Israel, kita tidaklah meletakkan harapan yang tinggi terhadap apa yang bakal terhasil daripada persidangan dan mesyuarat tersebut tersebut.

Ke Arah Pembebasan Al-Aqsa

Dalam mendepani isu yang berlaku di Palestin, kemampuan kita sebagai orang awam sudah tentu terhad. Walau bagaimanapun, dalam kemampuan yang terbatas ini, kita masih lagi boleh menyumbang terhadap kebajikan Palestin dan pemeliharaan Al-Aqsa dalam kapasiti yang lebih bermakna.

Selain sumbangan kewangan yang biasa kita lakukan saban tahun, perjuangan ke arah memelihara kesucian Al-Aqsa tentu lebih bermakna apabila ianya bermula dengan pendidikan dalam kalangan anak-anak serta rakyat terbanyak. Proses ini tentulah perlu bermula di institusi-institusi pendidikan melalui modul pembelajaran dan di masjid serta surau melalui kuliah pengajian dan khutbah Jumaat.

Nilai-nilai agung yang ada pada Al-Aqsa perlu diceritakan kepada generasi muda agar mereka dapat menzahirkan kecintaan terhadap masjid tersebut, sama seperti cinta yang mereka zahirkan kepada Masjid Al-Haram di Mekah dan Masjid An-Nabawi di Madinah. Sungguh, bukan sedikit generasi muda hari ini yang tidak pun tahu bahawa Al-Aqsa merupakan qiblat pertama dan tanah suci ketiga umat Islam di mana banyak jasad para nabi bersemadi.

Tentunya, sebagai orang Islam yang juga rakyat sebuah negara yang sangat sensitif terhadap perjuangan umat Islam di Palestin, kita seharusnya tidak lupa untuk sentiasa menyebut Al-Aqsa dan umat Islam di sana dalam setiap titipan doa kita. Kita meyakini bahawa Allah jualah yang akan membebaskan tanah suci tersebut melalui jalan perjuangan umat yang ditentukanNya dan kita sememangnya tiada jawapan samada kita akan turut menjadi sebahagian generasi yang memperjuangkan pembebasan Al-Aqsa. Namun setidak-tidaknya kita terus menunaikan tanggungjawab seorang Muslim dalam menitipkan doa buat perjuangan suci saudara seagama kita di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here