PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), yang sudah menjayakan operasi lapan tahunnya Februari ini, berjaya melaksanakan tugas dalam memercepat inisiatif sektor awam-swasta, selari dengan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.

 

“Tugas Pemudah mungkin tidak disanjung namun perkhidmatan mereka dihargai sektor kerajaan dan korporat.

 

“Idea yang diperkenal sangat penting kepada dasar dan proses kerajaan mengekalkan trajektori ekonomi Malaysia,” katanya semasa melancarkan Laporan Tahunan Pemudah 2014 di sini hari ini.

 

“Pemudah yang dianggotai individu berpengaruh dari sektor awam dan swasta, ditubuhkan pada 7 Feb, 2007.

 

Pemudah kini dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Datuk Seri Saw Choo Boon.

 

Najib berkata usaha Pemudah memudahkan cara menjalankan perniagaan di Malaysia diperakui oleh pelbagai badan antarabangsa, termasuk Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia dan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).

 

“Badan-badan dunia ini meletakkan Malaysia pada kedudukan tinggi dari segi mudah menjalankan perniagaan dan berdaya saing tinggi,” katanya dan menambah Buku Tahunan Daya Saing Dunia IMD 2015 meletakkan Malaysia pada ranking ke-14 daripada 61 negara, mendahului Belanda, Ireland, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Jepun.

 

Walaupun ada pihak yang mahu menjatuhkan Malaysia, Najib berkata Malaysia mencatat rekod ekonomi hasil pelaburan yang tinggi, asas yang kukuh, kepelbagaian, pembaharuan daya tahan serta keterangkuman.

 

“Laporan berwibawa dan berpengaruh yang mengetengahkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan membuktikan usaha sama awam-swasta, yang dijayakan oleh Pemudah, yang menjadi asas pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

 

Najib berkata beberapa inisiatif yang dijalankan oleh Pemudah dalam memudahkan perniagaan antara lain, membabitkan pendaftaran mandatori perniagaan secara dalam talian bagi memudahkan carian nama, serta permohonan proses pendaftaran dalam talian diluluskan dalam tempoh sehari.

 

Yang lain termasuk proses pembaharuan permit pembinaan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikurangkan daripada 15 kepada sembilan, dan pelancaran sistem serahan cekap, sistematik dan pengankutan bersepadu Kuala Lumpur DBKL yang memudahkan kelulusan pembangunan, katanya.

 

Komitmen menteri-mentei dan agensi terhadap Amalan Kawal Atur Yang baik juga semakin mendapat perhatian, dengan pelaksanaan analisis impak kawal selia projek sangat menggalakkan, dengan sejumlah 30 projek hingga akhir tahun lepas, katanya.

 

Perdana Menteri juga meningkatkan bahawa Malaysia sudah memulakan larian terakhir dalam perjalanannya untuk merealisasikan status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, dengan cabaran semakin besar dalam dunia global yang saling berkait rapat.

 

Antara cabaran kata Najib ialah turun naik harga komoditi, krisis di zon euro, anjakan keseimbangan tenaga antarabangsa, penularan keganasan, perubahan iklim dan beberapa ancaman yang diharungi setiap hari.

 

“Nyata tidak ada ruang untuk merasa selesa jika kita mahu merealisasikan janji kita untuk mewujudkan Malaysia yang aman, makmur dan progresif untuk generasi akan datang,” katanya.

 

Najib juga menyuarakan keyakinan beliau bahawa semua rakyat Malaysia akan menyambut cabaran ini.

 

“Rekod kita menunjukkan kita boleh, dan pasti boleh, mengatasi apa sahaja halangan yang mendatang,” katanya.

 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here