Pemuda

Kelebihan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memiliki keberanian serta lantang dalam banyak isu khususnya melibatkan kepentingan rakyat menjadi sebab utama beliau mendapat sokongan padu perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Pandan.

Rata-rata perwakilan di bahagian terbabit  melihat Ketua Umno Sungai Besar itu sebagai calon yang baik untuk menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengetuai Pemuda Umno Malaysia.

Malah, menurut Exco Pemuda Umno Pandan, Hasbulah Alias, sifat Jamal yang tidak kedekut antara sebab kenapa beliau mendapat sokongan penuh orang ramai di situ.

“Saya betul-betul menyokong Datuk Seri Jamal. Tindakan dia luar biasa. Dia tunjuk kepada pemuda-pemuda di luar bahawa dia berani buat sesuatu perkara di luar kawalan.

“Untuk dia menjadi calon ketua, saya tengok dari segi kewangan, pemikiran memang layak, dan dia banyak bertoleransi dengan pemuda.

“Lima ciri yang disebut oleh Khairy juga insya-Allah ada pada Jamal dan lagi satu dia bukan jenis yang kedekut sebab itu pemuda-pemuda menyokong dia,”

Elak kena tindas

Jamal ketika berucap dalam majlis perasmian mesyuarat Pemuda Umno Sungai Besar di Dewan Umno Sungai Besar sebelum ini meluahkan hasrat untuk bertandingjawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy jika jawatan itu kosong selepas pilihan raya umum akan datang.

Khairy pula pada 22 Julai menggariskan lima ciri yang perlu ada bagi membolehkan Umno memenangi hati rakyat.

Kata Khairy, seseorang pemimpin Umno perlu berintegriti dan amanah, cekap, prihatin dan peduli rakyat dan menepati janji.

Seorang lagi Perwakilan Pemuda Umno Pandan, Ahmad Zulshah Firdaus Muhammad, berkata pergerakan itu sememangnya memerlukan pemimpin seperti Jamal bagi mengelak penindasan pihak yang tidak senang pada mereka.

“Kita memerlukan seorang pemimpin yang berani kerana kalau pemimpin yang takut-takut, senanglah orang nak tindas.

“Jadi, Jamal layak sebab dia seorang yang lantang,” kata Ahmad. – Malaysiakini –

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here