Pemuda Harapan Perak mencadangkan agar semua parti menggunakan salah satu logo rakan parti komponen mereka pada PRU14 sekiranya logo Harapan tidak diluluskan.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, cadangan itu merupakan idea terakhir bagi memudahkan pengundi memilih dengan mudah pada PRU14 nanti.

Katanya, penggunaan satu logo ini juga akan menunjukkan kesepakatan dalam Harapan sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat.

“Walaupun cadangan ini berat dan mungkin tidak akan dipersetujui semua, tapi ini langkah terbaik untuk kita menang pada PRU14.

“Kita akhirnya akan membentuk sebuah kerajaan Pakatan Harapan, bukan Amanah, Bersatu, DAP mahupun PKR,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Perak, di Pejabat Bersatu Perak, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Ketua Pemuda Harapan Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa pimpinan pemuda keempat-empat parti.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Nik Nazmi berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat pimpinan pusat untuk dibincangkan.

Katanya, sebelum ini memang terdapat ura-ura untuk mencadangkan perkara itu.

Menurutnya, Pemuda Harapan menyerahkan kepada pimpinan untuk membuat keputusan dan akan menerimanya demi kemenangan Harapan.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here